Tak sangka resipi turun temurun jadi sumber pendapatan
KUANTAN - Siapa sangka nasi lemak resipi turun temurun yang dihidangkan untuk ahli keluarga dan rakan menjadi sumber pendapatan tambahan kepada pasangan ibu serta anak di Air Putih di sini.
Rosfarida Shamsudin, 49, berkata, pada awalnya dia menyediakan hidangan itu sekadar suka-suka dengan menjamu kepada kenalan terdekat sebelum diminta untuk menjualnya.
Menurutnya, di situlah bermulanya perniagaan secara kecil-kecilan yang diusahakan bersama anak keduanya, Nik Nordamia, 20, di rumah sejak setahun lalu.
"Saya suka menjamu rakan-rakan dan keluarga ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri. Bermula dari situ, kawan-kawan minta kami jual nasi lemak.
"Bila dah jual, semakin hari ia mula tersebar dan mendapat permintaan ramai serta kini boleh jana pendapatan tambahan untuk kami dua beranak," katanya ketika ditemui di rumahnya Air Putih di sini pada Selasa.
Ibu kepada empat anak itu memberitahu terdapat tiga jenis nasi lemak yang dijual iaitu nasi lemak sambal ayam, nasi lemak udang dan nasi lemak sotong.
Ujarnya, idea tercetus untuk membuat nasi lemak sambal ayam kerana ia merupakan kegemaran anaknya.
“Nasi lemak sambal ayam adalah antara menu yang sering mendapat permintaan ramai," katanya yang turut dibantu anak sulungnya, Danish Rafiq, 22.
Sementara itu Nik Nordamia berkata, mereka lebih selesa berniaga dari rumah kerana bebas menguruskan waktu bekerja, selain dapat menetapkan had tempahan yang diterima.
Dia mengakui perlukan banyak tumpuan sekiranya membuka kedai termasuk menguruskan pekerja
“Kalau kami buka kedai, fokus kena lebih sebab perlu uruskan banyak perkara seperti pengurusan kedai dan pekerja. Saya bimbang adik-adik yang masih bersekolah tidak ada siapa yang akan uruskan.
“Kalau buat di rumah, kami masih ada masa untuk menguruskan hal-hal rumah,” katanya.
Tambahnya lagi, dia dan ibu membuka tempahan setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad dan menerima kira-kira 50 pesanan setiap hari.
“Nasi lemak yang kami dijual berharga antara RM8 hingga RM15. Pelanggan yang sudah membuat tempahan akan mengambil makanan mereka di rumah atau menggunakan perkhidmatan e-hailing.
“Jika tempahan terlalu banyak untuk sebuah rumah, kami akan hantar sendiri,” katanya memberitahu setiap hari mereka sentiasa menerima tempahan pelanggan baharu.
Dalam pada itu, Nik Nordamia berkata, pendapatan yang diterima daripada perniagaan kecil-kecilan itu sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan harian keluarga.
“Alhamdulillah bolehlah kami guna untuk membeli barangan keperluan dan membayar bil rumah,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!