Pergaduhan dua kumpulan bukan libat isu perkauman
SERDANG - Insiden pergaduhan melibatkan dua kumpulan di gelanggang bola keranjang di Seri Kembangan di sini semalam bukan melibatkan unsur perkauman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, pihaknya menafikan dakwaan mengatakan insiden pergaduhan yang tular di media sosial itu akibat unsur perkauman.
"Ini bukan soal perkauman sebaliknya berunsur peribadi dan ia ada kena mengena dengan soal cinta yang mengakibatkan berlakunya tidak puas hati.
"Jadi saya ingin tegaskan bahawa keadaan di sini khususnya Kampung Baru masih dalam keadaan selamat. Apa yang berlaku itu tidak ada kena mengena dengan soal keselamatan di kawasan ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat ke lokasi kejadian dan menemui beberapa mangsa yang terlibat di gelanggang bola keranjang di sini tadi.
Katanya, pihaknya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang pantas memberkas suspek terlibat.
"Saya difahamkan kes ini telah selesai. Jadi saya minta kepada mana-mana pihak yang bertindak menyebarkan mengenai kejadian ini dan mengaitkannya dengan soal perkauman agar segera hentikannya," katanya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, sekumpulan remaja cedera diserang sekumpulan individu dalam kejadian di gelanggang bola keranjang di sini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, siasatan dijalankan mendapati kejadian berpunca berkaitan perebutan seorang wanita yang dipercayai teman wanita salah seorang daripada sekumpulan remaja tersebut.
Ismadi berkata, enam individu ditahan bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!