USM-MAIK latih OKU dalam bidang pertanian
KOTA BHARU - Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya (OKU) Universiti Sains Malaysia-Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (USM-MAIK) menganjurkan satu projek khas bagi mendedahkan golongan istimewa tersebut dalam bidang pertanian.
Ketuanya, Dr Mohd Zulkifli Abdul Rahim berkata, sebagai permulaan seramai 24 OKU telah diberikan ilmu menerusi ‘Program Latihan Pekerjaan OKU Melalui Projek Pertanian Bersepadu' bermula pada 17 Disember lalu.
"Kesemua peserta berkenaan telah didedahkan dengan teori dan praktikal selama tiga minggu.
"Program latihan ini juga akan dijalankan secara berkala pada bulan Februari atau Mac nanti," katanya semasa Majlis Perasmian Penutup Program Tamat Latihan Pekerjaan OKU Melalui Projek Pertanian Bersepadu.
Ia dirasmikan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Dr Wan Rosli Wan Ishak.
Menurut beliau, sepanjang latihan itu para pelatih yang hadir menerima sedikit elaun latihan yang dibiayai oleh pihak Syarikat Enable OKU Solutions (ENOKU).
Ujarnya, pada masa sama pihak ENOKU turut memberi sumbangan untuk pembelian peralatan dan bahan-bahan untuk kegunaan latihan di pusat berkenaan.
Dr Mohd Zulkifli memberitahu, pihak ENOKU dan PTO akan mengadakan kerjasama dengan model-model pemerkasaan OKU.
Tambah beliau, program itu merupakan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ENOKU yang berpusat di Rumah Seri Kenangan (RSK) Taman Kemumin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!