KPWKM, Gardenia jalin kerjasama perkasa Bengkel Daya, Anjung Sinar
SHAH ALAM - Bengkel Daya dan projek Anjung Sinar di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus diperkasa termasuk bekerjasama dengan syarikat korporat.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sehubungan itu berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan pengilang roti terbesar, Gardenia Bakeri (KL).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif kerjasama itu berpotensi bagi meningkatkan kemahiran dan perkongsian pengetahuan teknologi khususnya dalam seni penaik dan pastri.
"Ini membantu pelatih Bengkel Daya dalam meningkatkan kualiti produk mereka dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk orang kurang upaya (OKU) dan golongan muda dari institusi JKM.
"Kerjasama ini penting kerana mereka sering bergelut untuk mencari pekerjaan di pasaran selain selaras dengan usaha Gardenia sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka.
"Malah kerjasama sebegini akan menyinari sasaran demografi kementerian dalam menangani keperluan golongan sasaran dengan lebih berkesan," katanya pada Majlis Pelancaran Semula Program Lawatan Kilang Gardenia Bakeri (KL) di Seksyen 26 di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia Bakeri (KL) Sdn Bhd, Koh Chin Huat.
Nancy yang menyempurnakan majlis pelancaran semula itu berkata, Bengkel Daya ialah Bengkel Terlindung di bawah JKM khusus untuk OKU yang tidak dapat pekerjaan di pasaran terbuka.
"Bengkel ini menyediakan latihan dan peluang pekerjaan kepada OKU dalam pelbagai bidang termasuk roti dan pastri, bagi menyediakan sumber pendapatan kepada mereka.
"Pada masa ini, terdapat dua Bengkel Daya yang diuruskan oleh JKM iaitu Bengkel Daya Klang dan Bengkel Daya Sungai Petani," ujarnya lagi.
Anjung Sinar pula merupakan pusat transit sementara yang menyediakan sistem sokongan sosial kepada kanak-kanak yang discaj dari institusi JKM untuk memperkasakan potensi mereka dengan menyediakan peluang pendidikan dan kemahiran sebagai persediaan untuk masa hadapan.
Sementara itu, Chin Huat berkata, Gardenia KL turut menyampaikan kit Kembali Ke Sekolah kepada anak-anak dari Persatuan Rumah Kanak-kanak Komuniti Trinity pada majlis pelancaran semula kilang itu.
"Sejak 2015, Gardenia telah memberi kesan positif kepada 33,000 kanak-kanak setakat ini dalam melengkapkan mereka dengan bekalan dan keperluan sekolah yang diperlukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!