CelcomDigi, SoftBank dan SC-NEX jalin kerjasama
CELCOMDIGI Berhad (CelcomDigi) telah bekerjasama dengan dua organisasi teknologi global terkemuka, iaitu SoftBank Corp dan SC-NEX, sebuah anak syarikat Sumitomo Corporation untuk memacu digitalisasi perusahaan di Malaysia menerusi penyelesaian Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Perjanjian kerjasama itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi, Naib Presiden dan Ketua Bahagian Perniagaan Global SoftBank, Kimimasa Kudo dan Ketua Pegawai Eksekutif SC-NEX, Jun Okawara serta disaksikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang diadakan di Kuala Lumpur pada Isnin.
CelcomDigi dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu dilaksanakan menerusi Pusat Inovasi CelcomDigi dan akan memanfaatkan kepakaran SoftBank dan SC-NEX dalam penyelesaian Kecerdasan Buatan (AI), robotik dan analitik.
“Menerusi kerjasama tersebut, CelcomDigi akan terus meneroka kolaborasi bersama untuk penyelesaian IR4.0, bermula dengan industri Agroteknologi dan Bandar Pintar, dengan sokongan rangkaian 4G LTE dan 5G CelcomDigi yang paling luas.
“Dari segi Agroteknologi, kerjasama itu akan meneroka gabungan teknologi dron, penyelesaian AI dan Analitik untuk operasi, keselamatan dan ketersambungan dalam sektor perladangan. Bandar Pintar akan melibatkan penerokaan Perisian Pengurusan Bangunan (BMS) Bersepadu, Sensor IoT, serta Akses, Keselamatan dan Kawalan Visualisasi Alam Sekitar,” jelas kenyataan itu.
Softbank ialah syarikat telekomunikasi dan IT terkemuka di Jepun, yang membangunkan penyelesaian infrastruktur sosial generasi masa depan yang inovatif untuk pelbagai industri dan organisasi di seluruh dunia.
Sementara itu, anak syarikat milik penuh Sumitomo, SC-NEX memberikan fokus untuk memacu pertumbuhan perkhidmatan transformasi digital dengan teknologi digital yang canggih serta pakar industri yang terkemuka.
Idham berkata, kerjasama itu akan membuka banyak peluang kepada perusahaan Malaysia untuk mempercepat akses kepada teknologi transformatif serta membantu merealisasikan potensi sebenar perniagaan mereka.
“Matlamat kami untuk membantu banyak perniagaan dengan usaha transformasi digital mereka agar mampu kekal berdaya saing dalam ekonomi digital hari ini. Mereka boleh bergantung pada CelcomDigi sebagai rakan kongsi yang dipercayai untuk meningkatkan produktiviti, mengukuhkan ketahanan perniagaan, dan mewujudkan persekitaran operasi yang lebih mampan,” kata Idham.
Bagi Kudo, berkata, SoftBank Corp berharap dapat bekerjasama dalam bidang teknologi lain untuk menyumbang kepada pertumbuhan industri yang mampan di Malaysia.
Okawara berkata, SC-NEX mewarisi pengalaman Industri DX dan pelbagai inisiatif inovatif Sumitomo Corporation bukan sahaja di Jepun tetapi juga di seluruh dunia.
"Jika memanfaatkan pengalaman berkenaan dan mengaplikasikan pengetahuan luas kami, SC-NEX akan dapat memperkukuhkan kerjasama ini dan mencapai objektif untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan dan masyarakat Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!