Pasaran modal diunjur terus catat prestasi baik pada 2024

Abdul Wahid pada sidang media selepas pelancaran Bursa Malaysia sebagai bursa pelbagai aset pada Selasa. Foto Bernama
Abdul Wahid pada sidang media selepas pelancaran Bursa Malaysia sebagai bursa pelbagai aset pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

BURSA Malaysia Bhd menjangkakan pasaran modal terus mencatatkan prestasi baik pada 2024 berbanding tahun lepas, berdasarkan angka memberangsangkan yang dicatatkan semasa separuh pertama Januari, kata Pengerusi, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata, pihaknya menyaksikan pelaburan asing berjumlah RM448 juta bagi 15 hari pertama tahun ini yang memacu FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) sehingga ditutup di atas 1,500 mata pada Isnin.

"Kita juga mendapati nilai dagangan harian purata (ADTV) melonjak kepada RM3.25 bilion, 50 peratus lebih tinggi daripada ADTV berjumlah RM2.06 bilion yang dicatatkan bagi keseluruhan 2023,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Bursa Malaysia sebagai bursa pelbagai aset di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, Bursa Malaysia masih mendominasi tumpuan daripada pelabur institusi asing, menyumbang 29.2 peratus kepada penyertaan dagangan pasaran sekuriti di bursa itu pada 2023 dari segi ADTV, berbanding 26.8 peratus pada 2022.

Pada masa ini, FBM KLCI dinilai berdasarkan nisbah harga hadapan kepada perolehan sebanyak 13.3 kali, jauh lebih rendah daripada purata 10 tahun kira-kira 15.5 kali, katanya.

Amir Hamzah (dua, kanan) merasmikan Bursa Malaysia sebagai bursa pelbagai aset di Bursa Malaysia pada Selasa. Turut kelihatan Abdul Wahid (kiri), Muhamad Umar (kanan) dan Awang Adek (dua, kiri). Foto Bernama
Amir Hamzah (dua, kanan) merasmikan Bursa Malaysia sebagai bursa pelbagai aset di Bursa Malaysia pada Selasa. Turut kelihatan Abdul Wahid (kiri), Muhamad Umar (kanan) dan Awang Adek (dua, kiri). Foto Bernama

"Kita berharap pasaran terus merekodkan prestasi baik pada 2024 dan menjangkakan lebih banyak minat pelabur pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Bursa Malaysia turut melancarkan platform dagangan emas patuh syariah Bursa Gold Dinar (BGD), portal pelanggan MyBURSA, platform Bursa Reach dan logo baharu.

Artikel Berkaitan:

Abdul Wahid berkata, BGD dikhususkan bagi mendemokrasikan pelaburan emas dengan membolehkan spektrum pelabur yang lebih luas untuk membeli, menjual, berdagang dan menebus emas dengan yuran lebih rendah.

"BGD lebih daripada sekadar produk pelaburan. BGD menawarkan kestabilan sebagai kelas aset pelaburan alternatif dalam tempoh ketidaktentuan kewangan dan turun naik ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, bagi portal pelanggan MyBURSA dan Bursa Reach, kedua-duanya adalah platform baharu untuk melengkapkan dan memperkasakan pelabur.

"MyBURSA adalah portal web yang direka bentuk dengan mengutamakan pelanggan kami. Portal itu menawarkan akses kepada laporan penyelidikan dan kandungan lain yang diuruskan, di samping alat pelaburan untuk memudahkan pelabur dalam membuat keputusan bermaklumat.

"Sementara itu, Bursa Reach adalah platform untuk menghubungkan pelabur individu secara langsung dengan wakil niaga meliputi remisier bertauliah dan peniaga bergaji,” katanya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyempurnakan pelancaran itu.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift turut menghadiri majlis itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!