Perangkap ofsaid makan diri - Razman

Skuad kebangsaan tumbang 0-4 kepada Jordan dalam aksi pembukaan Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Doha, malam tadi. Foto AFP
Skuad kebangsaan tumbang 0-4 kepada Jordan dalam aksi pembukaan Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Doha, malam tadi. Foto AFP
A
A
A

DUA perangkap ofsaid yang tidak menjadi telah memakan diri anak buah Kim Pan-gon sehingga menyaksikan skuad kebangsaan tumbang 0-4 kepada Jordan dalam aksi pembukaan Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Doha, malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan berkata, dua daripada tiga gol pada separuh masa pertama terhasil berikutan taktik perangkap ofsaid berjaya dihidu pasukan lawan, menyebabkan benteng pertahanan melakukan kesilapan mudah sehingga menghadiahkan sepakan penalti.

Razman
Razman

"Saya tertarik melihat posisi Junior Eldstal yang mahu melakukan perangkap ofsaid sehingga mengelirukan kapten pasukan negara, Matthew Davis yang terpaksa mengejar pemain lawan apabila menyedari perangkap tidak menjadi.

"Bila kejar sudah terlambat dan pemain Jordan (Yazan Alnaimat) hanya pakai lutut untuk mendapatkan penalti sewaktu berdepan Matthew, sama ada sengaja atau tidak, itu belakang kira. Cuma perangkap ofsaid itu pada saya kesilapan yang tidak wajar dilakukan pertahanan kita,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-18 untuk gol kedua, Jordan yang sudah dapat membaca perangkap ofsaid cuba dilakukan oleh skuad Harimau Malaya sekali lagi, menyumbat gol ketiga, sekali gus meletakkan pasukan di ranking ke-87 itu selesa dengan 3-0 selepas tamat babak pertama.

Menurut Razman, kelibat pemain naturalisasi, Romel Morales yang diletakkan di sebelah kiri berbanding posisi asalnya selaku penyerang tengah, gagal memberi impak besar dalam menambah kekuatan jentera serangan pasukan kebangsaan.

"Saya tak salahkan Morales berada dalam kesebelasan utama kerana jurulatih yang nilai prestasinya. Cuma selepas ini mungkin boleh pertimbang semula keperluan meletakkannya bagi posisi di sebelah kiri jentera serangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan berkata, Harimau Malaya yang menduduki ranking ke-130 dunia bermain di bawah prestasi sebenar mereka ketika berdepan Jordan malam tadi.

Zainal Abidin
Zainal Abidin

Biarpun mengakui Malaysia lambat menyesuaikan diri dengan intensiti permainan sehingga ketinggalan tiga gol pada separuh masa pertama, Zainal Abidin tetap memuji usaha dipamerkan barisan pemain negara yang bermain lebih baik pada babak kedua.

"Walaupun pemain nampak gugup namun belum sempat mereka menyesuaikan diri dah ketinggalan 3-0. Jika ketinggalan 1-0 mungkin ada peluang untuk kejar. Separuh masa kedua pula saya nampak pasukan sudah tukar rentak namun terlambat,” katanya.

Mengenai prestasi Morales, beliau berkata, pemain kelahiran Colombia itu juga belum cukup serasi bersama Harimau Malaya memandangkan baru sahaja menyertai skuad kebangsaan bulan lepas.

Bekas pengendali Pahang itu juga menggesa Harimau Malaya bangkit dengan tampil lebih garang menentang Bahrain dalam perlawanan wajib menang di Stadium Jassim Bin Hammad, Sabtu ini, bagi mencerahkan kembali peluang ke peringkat seterusnya.

"Kekalahan semalam bukan pengakhiran namun satu pengajaran berguna untuk perbaiki kelemahan.

"Tiga mata satu kemestian ketika lawan Bahrain, apa cara sekalipun, kena ambil situ sebab kita sudah ada di sini (Piala Asia 2023) takkan nak tunggu 40 tahun lagi,” katanya.

Selepas perhitungan dengan Bahrain, Malaysia akan menutup saingan kumpulan berdepan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari.

Ini merupakan penampilan keempat Malaysia di pentas Piala Asia.

Pasukan negara terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga edisi terdahulu masing-masing pada edisi 1976 di Iran, 1980 (Kuwait) dan ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!