JPDP, Futurise bangunkan standard perlindungan data peribadi
SERDANG - [DIKEMAS KINI] Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) dan Futurise Sdn Bhd (Futurise) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama membangunkan standard serta garis panduan perlindungan data peribadi.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, penetapan keperluan minimum dan kaedah yang lebih praktikal telah dibuat bagi melindungi serta menguruskan data peribadi yang berada di bawah kawalan mana-mana individu atau organisasi.
Menurutnya, kerjasama strategik itu merangkumi pembangunan satu standard perlindungan data peribadi, tujuh garis panduan, satu portal perlindungan data peribadi dan satu modul latihan berkaitan pegawai latihan data.
"Ia bukan sahaja memenuhi keperluan undang-undang tetapi turut membentuk masa depan yang menghasilkan interaksi digital bercirikan keselamatan, kepercayaan dan akauntabiliti.
"Kerjasama dua pihak ini menandakan komitmen bersama bagi memupuk budaya amanah dan telus untuk meyakinkan pengguna bahawa data peribadi mereka dikendalikan dengan penuh berhati-hati," katanya sewaktu ucaptama di majlis pemeteraian MoU antara Pejabat PDP dan Futurise pada Selasa.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Rodzi Md Saad dan Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Rosihan Zain Baharudin.
Tambah Gobind, terdapat tujuh garis panduan baharu yang telah dibangunkan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) antaranya notifikasi ketirisan, hak mudah alih data, penilaian impak perlindungan data dan merekabentuk berdasarkan privasi.
Ujarnya, pelaksanaan itu adalah melalui inisiatif baharu yang diperkenalkan sebagai Personal Data Protection dan Sandbox Kawal Selia Privasi (Privacy Regulatory Sandbox).
"Ini sebagai tanda dedikasi dan komitmen oleh pihak Futurise dalam memupuk budaya inovasi, kerjasama dan pematuhan dalam bidang perlindungan data peribadi bersama PDP.
"Selain itu, kedua-dua pihak juga akan mengadakan kerjasama dalam pendigitalan proses pengurusan melalui portal Perlindungan Data Peribadi.
"Semua pengguna boleh melaksanakan transaksi secara atas talian bagi proses pendaftaran baharu di bawah pegawai perlindungan data, penilaian kesan data dan pemberitahuan pelanggaran data yang mempunyai peranan masing-masing," jelasnya.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya PDP, Profesor Dr Mohd Nazri Kama berkata, kerjasama itu merupakan inisiatif pertama yang dilaksanakan oleh PDP pada 2024 dalam usaha perangkaan pelan perlindungan peribadi 2010 atau Akta 709.
"Inisiatif ini juga merupakan salah satu daripada beberapa MoU yang dilaksanakan bagi menyokong akta tersebut.
"Pindaan ini dijangka dibentangkan pada tahun ini dengan mengambil kira cadangan daripada semua kementerian, agensi kerajaan, pemain industri.
"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Futurise atas kepercayaan dan kesudian dalam menjalinkan kerjasama strategik bersama selama dua tahun bermula 2024 hingga 2026," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!