StanChart unjur ekonomi Malaysia berkembang 4.8 peratus pada 2024

StanChart mengunjurkan prospek ekonomi lebih cerah bagi Malaysia tahun ini. Gambar hiasan
StanChart mengunjurkan prospek ekonomi lebih cerah bagi Malaysia tahun ini. Gambar hiasan
A
A
A

STANDARD Chartered Bank (StanChart) mengunjurkan prospek ekonomi lebih cerah bagi Malaysia tahun ini, dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih tinggi iaitu 4.8 peratus berbanding 4.3 peratus tahun lepas.

Ketua Ahli Ekonomi StanChart bagi Asean dan Asia Selatan, Edward Lee berkata, perbelanjaan pengguna domestik, pelaburan infrastruktur awam dan keadaan industri pelancongan yang bertambah baik dijangka memacu aliran peningkatan di Malaysia, meskipun ekonomi dunia diunjur mencatatkan pertumbuhan sederhana pada 2.9 peratus.

Peruntukan 2024 bagi perbelanjaan pembangunan kerajaan - hampir lima peratus daripada KDNK - adalah tertinggi dalam dekad lepas, katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, situasi sektor tenaga kerja juga kukuh dengan kadar pengangguran pada 3.3 hingga 3.4 peratus.

StanChart juga menjangkakan eksport elektronik bertambah baik daripada paras terendah dan diunjur melonjakkan sektor semikonduktor dan keseluruhan ekonomi, katanya.

Edward berkata, walaupun berhati-hati mengenai peningkatan mampan pada 2024 memandangkan pertumbuhan lebih perlahan yang dialami rakan dagang utama namun, kepelbagaian pasaran eksport dan produk Malaysia dijangka dapat mengurangkan kemungkinan eksport lemah daripada berlarutan.

"Pertumbuhan Malaysia akan menjadi lebih perlahan pada separuh pertama dan akan meningkat pada separuh kedua tahun ini,” katanya.

Beliau yakin krisis Laut Merah akan dikekang dan konflik itu tidak akan memberi kesan kepada data KDNK domestik 2024.

Artikel Berkaitan:

Mengenai ringgit, beliau berkata, mata wang domestik diunjurkan mengakhiri tempoh 2024 pada RM4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) manakala Bank Negara Malaysia mungkin mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 3.00 peratus memandangkan inflasi teras dijangka kekal rendah.

Sementara itu, mengenai unjuran global, Ketua Global bagi Penyelidikan Pendapatan Tetap dan Ketua Penyelidikan Asia, Kaushik Rudra berkata, ekonomi dunia mungkin mencapai keadaan impak yang terkawal berikutan pertumbuhan rendah tahun ini.

StanChart menjangkakan Rizab Persekutuan AS mengurangkan kadar faedah penanda aras sebanyak empat kali berjumlah 100 mata asas pada 2024 dengan inflasi dan geopolitik menimbulkan ancaman kepada senario ini.

Di Kesatuan Eropah, pertumbuhan semakin perlahan apabila pertumbuhan kredit merosot dan inflasi kekal apabila harga tidak terlaras berdasarkan perubahan penawaran dan permintaan, menandakan kemungkinan kemelesetan.

Hartanah China kekal membimbangkan dengan harga rumah semakin menurun, pertumbuhan pinjaman berada pada trajektori negatif di samping keyakinan pengguna yang lemah, katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!