Maut dirempuh lori ketika elak kenderaan keluar simpang

Lori yang terbalik dalam kemalangan di Jalan Sri Bengkal-Sri Gading, Batu Pahat, Johor pad Selasa.
Lori yang terbalik dalam kemalangan di Jalan Sri Bengkal-Sri Gading, Batu Pahat, Johor pad Selasa.
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang lelaki maut apabila motosikal dinaikinya dirempuh lori di Jalan Sri Bengkal-Sri Gading, Batu Pahat, Johor ketika cuba mengelak kenderaan pacuan empat roda yang secara tiba-tiba keluar dari simpang.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut hasil maklumat orang awam sekitar 8.30 pagi, Selasa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu motosikal ditunggang seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 51 tahun, kenderaan pacuan empat roda dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun dan lori dipandu seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal dari arah Sri Gading menghala ke Parit Yaani tidak sempat mengelak kenderaan pacuan empat roda yang keluar secara tiba-tiba dari sebelah kiri hingga menyebabkan ya terlanggar kenderaan tersebut dan sekali gus memasuki laluan bertentangan.

"Pada waktu yang sama datang sebuah lori dari arah hadapan yang tidak sempat mengelak lalu terlanggar penunggang motosikal tersebut

"Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala, tangan dan meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu kenderaan pacuan empat roda dan pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 oleh pegawai penyiasat trafik, Inspektor Salmiah Mohamed.

Usaha mengesan majikan dan waris si mati sedang dijalankan oleh pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya terdapat saksi awam yang melihat kejadian tersebut boleh berhubung dengan pegawai penyiasat di talian 07-4327704.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!