KKM usahakan peruntukan selesai masalah pemeluwapan wad Hospital Sibu
SIBU - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi menyelesaikan masalah pemeluwapan yang menyebabkan siling beberapa wad di Hospital Sibu mengalami kerosakan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, Pengarah Hospital Sibu, Dr T Nanthakumar telah mengemukakan cadangan dan permohonan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi menyelesaikan masalah itu.
"Kita ambil perhatian dan akan cuba untuk mendapatkan peruntukan bagi tujuan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat hospital itu pada Selasa.
Masalah kerosakan siling di beberapa wad hospital berkenaan ditularkan di media sosial pada tahun lepas oleh pihak tertentu yang kurang selesa dengan keadaan di wad-wad terbabit.
Menurut Dr Nanthakumar, kerosakan siling akibat masalah pemeluwapan itu melibatkan tiga wad di hospital itu.
"Pemeluwapan ini berlaku selepas kita naik taraf wad yang di atas menjadi ‘Infectious Disease Unit’ (IDU) semasa Covid-19 melanda.
"Suhu di IDU itu perlu dikekalkan di antara 17 hingga 18 darjah Celsius dan ini telah menyebabkan pemeluwapan di wad-wad bawah berkenaan,” kata Dr Nanthakumar.
Katanya, pengubahsuaian perlu dilakukan di wad-wad terbabit selain penukaran paip air sejuk hospital itu yang sudah berusia lebih kurang 30 tahun sebagai langkah penyelesaian.
Sementara itu, Lukanisman berkata, sebuah mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) yang disumbangkan oleh Yayasan Jantung Sarawak akan ditempatkan di Jabatan Radiologi Hospital Sibu selepas kerajaan meluluskan projek naik taraf jabatan itu bernilai RM3 juta.
Beliau berkata, kos itu adalah untuk penyelenggaraan mesin, naik taraf ruang pemasangan mesin, pendawaian serta pemasangan kelengkapan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan perisian.
Lukanisman yang turut melawat Klinik Kesihatan Selangau sebelum itu berkata, sebuah pusat dialisis telah dibuka di klinik berkenaan dengan kos RM1 juta.
Pembukaan pusat dialisis itu dijangka dapat meringankan pesakit di daerah berkenaan kerana tidak perlu pergi jauh ke Sibu untuk mendapatkan rawatan dialisis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!