Pernah pakai lampin kain...

Nur Hidayah (kanan) menerima sumbangan susu khas buat Siti Khadijah (tengah) daripada aktivitis sosial, Rohaidatul Asma Jusoh (kiri).
Nur Hidayah (kanan) menerima sumbangan susu khas buat Siti Khadijah (tengah) daripada aktivitis sosial, Rohaidatul Asma Jusoh (kiri).
A
A
A

TELUK INTAN - “Tak ada duit nak beli pampers... kami terpaksa pakaikan lampin kain, sampai luka dan merah punggung.”

Itu antara pengalaman Siti Nur Hidayah Megat, 40, yang membesarkan anak sulungnya yang menghidap Cerebral Palsy selepas dikatakan terjatuh ketika dalam penjagaan pengasuh kira-kira 12 tahun lalu.

Siti Khadijah Mohd Azharun, 12, disahkan menghidap Cerebral Palsy selepas dimasukkan ke hospital Jun 2007 pada usia tiga bulan ekoran tengkorak kepalanya dilaporkan pecah serta berlaku pendarahan otak.

Siti Nur Hidayah berkata, anaknya lahir seperti kanak-kanak normal yang lain namun selepas mengambil anaknya dari jagaan pengasuh, anaknya itu tidak mahu menyusu serta demam panas.

"Selepas pantang saya hantar kepada pengasuh kerana bekerja bersama suami, tetapi satu malam itu dia tidak mahu menyusu dan demam panas, kami terus ke klinik dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Anak saya koma lima hari semasa di unit rawatan rapi (ICU). Saya dan suami hanya mampu berdoa supaya anak sulung kami sedar dan sembuh seperti sediakala," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Kampung Tengah, Air Hitam, Teluk Intan.

Siti Khadijah menghidap Cerebral Palsy selepas dikatakan terjatuh semasa usia tiga bulan
Siti Khadijah menghidap Cerebral Palsy selepas dikatakan terjatuh semasa usia tiga bulan

Kesan jatuh itu menyebabkan tengkorak kepala anaknya pecah dan mengalami pendarahan.

Artikel Berkaitan:

"Doktor buat laporan polis. Saya dan suami disiasat selain pengasuh anak kami ketika itu.

“Dia maklumkan anak kami tak jatuh dan akhirnya kes itu senyap macam itu sahaja,” ujarnya.

Sejak itulah kehidupan Siti Nur Hidayah berubah secara total.

“Luluh hati saya mengenangkan anak kecil ini perlu melalui fasa hidupnya sebegini. Kami reda ALLAH SWT uji kami sekeluarga.

“Tiada apa yang mampu saya buat hanya cuba yang terbaik menjaga anak saya,” ujarnya.

Mengakui, keutamaan mereka adalah kepada Siti Khadijah. Anak syurga itu memerlukan jagaan rapi.

“Pernah juga kami semua berpindah ke kampung saya di Mukah, Sarawak. Tapi, disebebkan kesusahan hidup, kami terpaksa pulang semula ke Perak akhir tahun lalu.

“Lagi pula semasa di sana, suami saya di sini, agak sukar saya nak uruskan anak-anak, kerana itu kami kembali,” ceritanya.

Katanya, dengan pendapatan suami yang bekerja di sebuah kilang, mereka hanya mampu menyewa rumah dengan kadar RM100 sebulan.

“Itupun atas ihsan kawan suami. Kesusahan kami membesarkan tiga anak termasuk Siti Khadijah tidak menghalang untuk kami cuba berikan yang terbaik buat mereka.

"Wang kami banyak digunakan untuk keperluan Siti Khadijah seperti lampin pakai buang dan susu serta makanan.

“Selebihnya untuk dua lagi anak kami yang masih bersekolah. Ada masa kami makan apa sahaja yang ada," katanya.

Siti Khadijah sepatutnya minum susu khas untuk pesakit Celebral Palsy, tetapi kerana tidak mampu, dia hanya diberikan susu biasa.

“Ibu mana nak tengok anaknya susah? Kami suami isteri sudah cuba sehabis baik untuk membesarkan anak-anak.

"Alhamdulillah, Siti Khadijah dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM350 sebulan, dengan duit itulah kami beli lampin dan makanan dia tetapi masih belum mencukupi, inikan untuk membeli susu mahal,” ceritanya lagi.

Dalam keadaan terpaksa, tiada daya untuknya lagi apabila Siti Khadijah akan muntah setiap kali diberikan susu formula biasa.

“Kadang-kadang saya menangis sendiri mengenangkan nasib kami sekeluarga. Apa akan jadi kalau kami dah tiada?

“Kepada Tuhan kami memohon agar meringankan rasa berat ini. Kepada Tuhan kami terus berdoa agar anak-anak terus diberi kesihatan yang baik," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi membantu Siti Khadijah boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank milik ibunya bernomor 1622-2728-2163 di atas nama Siti Nur Hidayah Megat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!