TPM mahu agensi kawal selia sempadan negara beroperasi segera
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu agensi tunggal yang mengawal selia sempadan negara iaitu Malaysia Checkpoints and Border Agency (MCBA) dapat beroperasi dengan segera demi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat dalam apa jua perkara termasuk isu berkaitan kehadiran pelarian dan pemohon suaka yang sentiasa berada dalam radar kerajaan untuk ditangani.
" ...soal keselamatan negara kita tidak boleh dikompromikan dan dimanipulasikan oleh mana-mana pihak.
"Saya menggesa semua entiti kerajaan untuk melaksanakan penyelarasan dan penyesuaian terhadap mekanisme perundangan sedia ada agar terus dipatuhi oleh semua yang berada di negara ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Perkara itu antara inti pati Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (JTPPPS) Bilangan 1 Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, mesyuarat itu diadakan antara lain bagi meneliti keputusan serta mengemas kini pelaksanaan gerak kerja oleh kementerian, jabatan dan agensi utama yang terlibat mengenai pelarian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!