Hikmah terjatuh di Masjidil Haram
KUALA TERENGGANU - Seorang gadis yang mengalami lumpuh sejak sembilan tahun lalu kini beransur pulih selepas terjatuh di Masjidil Haram ketika menunaikan umrah Disember lalu.
Haziqah Nurul Huda Harun, 23, atau lebih mesra disapa sebagai Yaya berkata, perubahan positif yang dialami itu dianggap sebagai anugerah tidak ternilai yang dikurniakan ALLAH SWT.
"Alhamdulillah, kini dah masuk hari ke 19 saya tidak bergantung dengan kerusi roda sejak terjatuh di Masjidil Haram pada 15 Disember lalu.
"Saya kini sudah boleh berdiri dan berjalan perlahan-lahan menggunakan tongkat berbanding sebelum ini, kaki kiri yang lumpuh dari pinggul ke bawah langsung tidak boleh digerakkan.
"Saya juga amat bersyukur kerana sebelum ini doktor memaklumkan peluang untuk saya pulih adalah 50-50, kini doktor pun agak terkejut dengan perubahan ini dan memberitahu saya berpeluang untuk pulih sekiranya menjalani rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Haziqah Nurul Huda berkata, kejadian itu berlaku ketika dia mengerjakan umrah bersama ibu bapanya, Rohana Latif, 55, dan Harun Che Muda, 64 dan 43 jemaah yang lain pada 10 hingga 21 Disember 2019.
Dia yang merupakan usahawan kuih bakul dan kuih bulan halal itu turut berkongsi kisah gembiranya itu di laman sosial Facebooknya pada 31 Disember lalu.
Katanya, sebelum menunaikan umrah dia telah membuat persiapan fizikal sejak Jun 2019 iaitu dengan membiasakan diri berdiri sebelah kaki.
Bagaimanapun, katanya perubahan ke atas dirinya itu ketara dirasai selepas terjatuh daripada kerusi roda ketika di tanah suci itu.
"Waktu jatuh tu kepala dan tulang belakang saya amat sakit, namun saya teruskan juga untuk bertawaf selepas setengah jam jatuh.
"Sehari selepas tu saya gagahkan diri untuk menyempurnakan ibadah umrah, malangnya kerusi roda yang sering digunakan itu juga hilang pada hari yang sama.
"Dalam tempoh yang sama juga sebanyak empat kali saya terjatuh ketika tandas, rasa sakit sangat sehingga demam.
"Untuk redakan rasa sakit saya terpaksa makan ubat dan rehatkan diri. Ketika terjaga daripada tidur waktu tu azan berkumandang dan kaki saya rasa terasa sangat kebas dan waktu itu juga saya gagahkan diri untuk gerakkan kaki," katanya.
Gadis itu berkata, usaha menggerakkan kaki berhasil selepas kaki kirinya yang lumpuh itu terasa apabila memijak lantai.
"Alhamdulillah, ALLAH SWT makbulkan doa saya untuk mengelilingi Kaabah tanpa berkerusi roda. Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya," katanya.
Haziqah Nurul Huda mula dikenali selepas perniagaan kuih bakulnya dengan jenama Victory Yaya mendapat liputan meluas selepas berjaya menembusi pasaran luar negara.
Berkat usaha gigihnya, dia menerima Anugerah Tokoh Orang Kurang Upaya (Perempuan) pada majlis sambutan Maal Hijrah 1440 Hijrah/2018 peringkat Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!