Shereen yakin layak ke Paris 2024
RATU trek negara dalam acara 400 meter (m), Shereen Samson Vallabouy yakin mampu meraih slot Sukan Olimpik Paris bermula Julai ini secara merit.
Keyakinan itu katanya berdasarkan kepada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum tarikh akhir untuk layak ke temasya terbesar dunia tersebut.
Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou dengan masa 52.58 saat (s) itu hanya kurang dari satu saat lagi untuk layak ke Paris.
“Jarak masa untuk layak tak jauh. Jika saya memperbaiki larian dan mempertingkatkan ketahanan, saya boleh sampai ke tahap itu. Selebihnya biar Tuhan tentukan.
“Saya masih ada masa kerana tarikh akhir untuk layak ke Olimpik ialah pada 30 Jun,” katanya.
Shereen melakar masa terbaik peribadi 51.80s - kurang 0.85s untuk melepasi catatan 50.95s iaitu masa kelayakan secara merit.
Mengulas pertandingan yang bakal disertai, Shereen menyerahkan kepada jurulatih untuk menentukan kejohanan yang sesuai.
“Ketika ini 'off season' dan saya akan mula sertai pertandingan pada akhir Februari. Jika urusan visa berjalan lancar, saya akan mula bertanding di Amerika Syarikat (AS).
“Saya tekad buat yang terbaik untuk mencapai misi layak ke Olimpik kerana itu adalah impian semua pelari,” katanya.
Sebagai rekod, atlet berusia 25 tahun itu merupakan pemegang tiga rekod kebangsaan dalam acara 400m (51.80s), 200m (23.33s) dan 400m dalam dewan yang pertama dalam sejarah (53.79s).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!