Tipu maklumat, majikan dan 27 pekerja asing ditahan

Sebahagian warga asing ditahan JIM Kuala Lumpur di Kompleks KDN Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Isnin.
Sebahagian warga asing ditahan JIM Kuala Lumpur di Kompleks KDN Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bahana melakukan pindaan maklumat pada pasport, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menahan seorang majikan bersama sekumpulan pekerja warga asing di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jalan Duta, dekat sini pada Isnin.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sebanyak 27 orang lelaki warganegara Bangladesh yang diiringi oleh seorang wanita telah ditahan semasa hadir ke pejabat JIM untuk verifikasi cap jari bagi tujuan pendaftaran dalam program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0).

Beliau berkata, wanita warga tempatan itu yang merupakan wakil majikan sebuah syarikat tempatan ditahan jam 11 pagi.

"Hasil pemeriksaan menggunakan Sistem Jabatan MyIMMS oleh pegawai verifikasi yang bertugas mendapati terdapat pindaan pada butiran nombor pasport lama dan butiran diri dalam pasport pada muka surat biodata kesemua warganegara Bangladesh tersebut.

"Wanita warga tempatan yang berusia 39 tahun telah ditahan dan ditangkap kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Ruslin berkata, kesemua warganegara Bangladesh lingkungan usia 24 hingga 46 tahun ditahan kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l), akta yang sama iaitu menggunakan atau tanpa kuasa yang sah memiliki dokumen perjalanan yang dipinda atau dipalsukan.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan kemudiannya telah dibawa ke Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasa JIM Kuala Lumpur untuk pemeriksaan.

Tambahnya, wanita warga tempatan tersebut ditahan di bawah Seksyen 51(5)(a), Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan kepada Unit Siasatan Bahagian Penguatkuasa JIM Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

"Manakala 27 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Bangladesh ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b), Akta Imigresen 1959/63 dan dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan serta tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Ruslin berkata, pihaknya menyeru kepada semua majikan yang telah mendaftar PATI untuk program RTK 2.0 supaya segera hadir ke pejabat RTK 2.0 JIM Kuala Lumpur untuk menyelesaikan proses verifikasi.

Ini kerana katanya, ia bertujuan membolehkan urusan pengeluaran permit kerja sementara disempurnakan tanpa menunggu sehingga saat akhir, selain mengelakkan kesesakan.

Jelas beliau, selari dengan dasar keselamatan tanpa kompromi, pihaknya ingin menegaskan bahawa semua pihak harus bekerjasama bagi memastikan negara ini sebagai tempat yang tidak kondusif kepada PATI dan majikan yang menggaji atau melindungi golongan tersebut.

Tegas beliau, orang ramai dinasihatkan untuk tidak cuba melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta mana-mana peraturan atau perundangan lain.

"Sebarang aduan berkenaan PATI di sekitar ibu kota, orang ramai diseru untuk melaporkan ke Unit Aduan, Bahagian Penguatkuasaan JIM Kuala Lumpur atau hadir terus ke pejabat.

"Mereka juga boleh menghantar e-mel ke aduan_penguatkuasajimwpkl@imi.gov.my atau membuat panggilan telefon ke talian 03-6205 7515," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!