Malaysia dukung langkah Afrika Selatan di ICJ - Anwar

Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Anwar Ibrahim. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mengulangi pendiriannya untuk mendukung langkah Afrika Selatan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) bersama negara sahabat yang lain dalam menegakkan keadilan dan membenam kezaliman Israel di Palestin, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, tindakan berani Afrika Selatan semestinya didukung oleh seluruh dunia serta warga yang waras, dan Israel mesti dibicarakan serta kekejaman mereka mesti didobrak dengan pelbagai cara yang ada.

"Negara-negara barat seolah ingin terus bermuka-muka dan mengambil pendirian selamat ketimbang mengheret Israel ke muka dan neraca pengadilan yang sewajarnya.

"Mantra ‘hak asasi manusia’ yang sering dihala ke negara-negara yang tidak sebulu dengan mereka kini tidak lagi kedengaran,” katanya.

Anwar berkata, gelombang penentangan terhadap Israel yang disaksikan hari ini adalah yang terbesar sejak demonstrasi raksasa menentang Perang Vietnam dan pencerobohan ke atas Iraq serta Afghanistan dahulu.

Menurutnya, dunia telah menyaksikan 100 hari pembantaian tanpa henti rejim biadab Israel ke atas warga Palestin sejak 7 Oktober tahun lepas.

Anwar berkata, ia adalah kesinambungan daripada lebih tujuh dekad kezaliman yang telah diterjemahkan secara jelas melalui pendirian rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

"Kenyataan serta pandangan perkauman sisi kanan yang dihambur para pemimpin Zionis ke atas rakyat Palestin tambah menjelas sikap melampau Zionis Israel.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai rakyat, meski dinafikan segala hak dan asas kehidupan serta sentiasa dipaksa untuk hidup dalam ketakutan, rakyat Palestin tetap terus keras mempertahan tanah air dan maruah bangsa,” kata Anwar.

Beliau berkata, setakat hari ini, sejak 7 Oktober lepas, Israel telah membunuh seramai 24,100 rakyat yang tidak berdosa dan Israel terus dipencilkan warga serta komuniti antarabangsa.

Afrika Selatan memfailkan kes itu pada Disember, menuduh Israel melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza dan meminta ICJ mengeluarkan langkah sementara untuk melindungi rakyat Palestin, termasuk menyeru Israel segera menghentikan serangan.

Afrika Selatan telah mengemukakan bukti-bukti yang kukuh mengenai niat dan perbuatan genosid yang melanggar Konvensyen Genosid. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!