Kes tipu pekerja asing di Pengerang, 13 kertas siasatan dibuka

Steven (kiri) memberitahu Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor telah menyiapkan 13 kertas siasatan berhubung isu tipu pekerja asing di Pengerang, Johor baru-baru ini.
Steven (kiri) memberitahu Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor telah menyiapkan 13 kertas siasatan berhubung isu tipu pekerja asing di Pengerang, Johor baru-baru ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor telah menyiapkan 13 kertas siasatan berhubung isu tipu pekerja asing di Pengerang, Johor baru-baru ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kertas siasatan dibuka bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

"Kertas siasatan akan disemak oleh Timbalan Pendakwa Raya esok (Rabu).

"Tindakan susulan akan diambil selepas semakan berkenaan dibuat," katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing kali ke-10 di sini pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan, kira-kira 2,500 pekerja asing ditipu syarikat serta ejen pekerjaan kini berada di Pengerang seperti didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam pada itu Steven berkata, Mahkamah Buruh akan ke Pengerang pada 5 Februari depan bagi sebutan kes 751 pekerja warga Bangladesh yang menuntut tunggakan gaji terhadap majikan mengikut Seksyen 69 Akta Kerja.

"Kami dimaklumkan 751 pekerja warga Bangladesh telah memfailkan kes buruh bagi menuntut tunggakan bayaran gaji keseluruhan berjumlah RM2.21 juta.

"Kebiasaannya kita akan panggil ke Mahkamah Buruh tetapi kali ini akan dilaksanakan sebutan kes di Pengerang mengambil kira kemampuan pekerja asing untuk datang ke Kuala Lumpur," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau turut memberi amaran kepada majikan yang membawa masuk pekerja asing ke negara ini untuk membayar gaji mereka walaupun tiada pekerjaan.

Steven menegaskan, majikan yang ingkar dan tidak berbuat demikian melanggar undang-undang buruh.

“Pekerja berhak ke atas gajinya walau tiada kerja dilakukan.

"Oleh itu menjadi pendirian kita selepas ini, kementerian akan anggap pekerja yang masuk ke Malaysia wajib diberi gaji sama ada kerja atau tidak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!