Lelaki ditahan kes khianat rumah Koo Ham dibebaskan dengan jaminan polis
IPOH - Lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat kes khianat api di kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham akan dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, lelaki berusia 30-an yang tiada rekod jenayah itu akan menjadi saksi sekiranya diperlukan.
"Pada 16 Januari (Selasa), kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak.
"Dan arahannya tangkapan dibebaskan dengan jaminan polis serta menjadi saksi sekiranya diperlukan dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes kebakaran tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan.
Media melaporkan lelaki itu ditahan di Shah Alam, Selangor pada Jumaat dan direman selama enam hari sehingga Selasa untuk disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan api.
Dalam kejadian sekitar jam 3 pagi itu, Koo Ham yang juga penasihat DAP Perak bersama ahli keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kebakaran hanya melibatkan kemusnahan sebuah kereta Mercedes Benz E300 dan kesan kepanasan kepada dua kenderaan lain iaitu jenis Honda CRV dan Toyota Hilux.
Siasatan polis kemudian mengesahkan terdapat perbuatan khianat apabila menemui bahan letupan dipercayai ‘molotov coctail’ di lokasi kejadian kebakaran tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!