Apa lagi nak buat menjelang Sukan Olimpik Paris?

Lee Zii Jia
Lee Zii Jia
A
A
A

SKUAD badminton negara terus kempunan untuk merangkul gelaran Kejohanan Badminton Malaysia setelah edisi 2024 menutup tirai di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad lalu.

Kemarau kejayaan enam tahun berterusan setelah kali terakhir Malaysia meraih kejuaraan ialah pada edisi 2018 menerusi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei setelah menewaskan Kento Momota dari Jepun 21-17, 23-21 pada aksi final.

Ironinya prestasi barisan pemain negara belum mencapai tahap tertinggi bagi mencabar kejuaraan pada kejohanan berstatus Super 1000 itu, sekali gus mengundang resah peminat mengenai peluang mereka untuk menaiki podium pada Sukan Olimpik Paris 2024 bermula Julai depan.

Kegagalan pemain negara pada Terbuka Malaysia yang diharap menjadi batu loncatan untuk ke temasya terbesar dunia itu yang berbaki 191 hari lagi wajar menjadi iktibar buat semua.

Enggan menuding jari mencari salah, sesuatu yang relevan dan drastik perlu dilakukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan para pemain.

Mengharapkan keajaiban, biarpun sukar semua pihak perlu berpegang kepada realiti.

Kelompok pemain sedia ada menjadi taruhan negara pada Sukan Olimpik dengan perseorangan lelaki terbaik ketika ini hanya Lee Zii Jia, manakala beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Artikel Berkaitan:

Aaron Chia-Soh Wooi Yik
Aaron Chia-Soh Wooi Yik

Namun Zii Jia bungkus lebih awal apabila tewas pada pusingan pertama kepada pemain China, Lu Guang Zu 16-21, 21-19, 21-15.

Aaron-Wooi Yik pula sekadar bertahan pada suku akhir sebelum tunduk di tangan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae 16-21, 21-18, 21-13 pada Jumaat.

Satu lagi wakil negara iaitu beregu profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut menerima nasib sama setelah tewas kepada pilihan ketujuh, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 21-15, 21-9 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Justeru Terbuka India di New Delhi bermula Selasa menjadi medan penebus duka untuk mereka bangkit melakar sesuatu yang membanggakan.

Aaron-Wooi Yik ketika ini menghuni ranking nombor empat dunia dan mereka perlu mengekalkan kedudukan dalam kelompok lapan terbaik sehingga tarikh akhir 28 April ini bagi memastikan slot ke Sukan Olimpik terjamin.

Di sebalik misi terdekat di Paris, pelan jangka panjang juga sudah pasti berada dalam kalendar BAM untuk meletakkan badminton Malaysia kembali digeruni di pentas dunia.

Penganalisis sukan, Zainal Abidin Rawop berkata, Malaysia perlu memiliki kelompok pemain yang lebih besar untuk dipertaruhkan ke peringkat tertinggi.

Beliau berkata, kebergantungan terlalu tinggi kepada pemain sama seperti Aaron-Wooi Yik dan Zi Jia sudah tidak lagi relevan untuk jangka panjang.

“Kebergantungan kepada pemain tertentu perlu dihapuskan. Banyakkan 'kolam' pemain yang memberi pelbagai pilihan buat jurulatih untuk dipertaruhkan di pentas antarabangsa," katanya kepada Sukan Sinar.

Justeru beliau melihat kejohanan kali ini sebagai isyarat besar buat BAM untuk lebih berani melakukan perubahan yang drastik.

“Ia menjadi pembuka mata buat semua khususnya BAM. Jangan berasa selesa dengan prestasi pemain sedia ada yang dianggap belum berada pada tahap terbaik untuk memburu pingat emas pertama pada Sukan Olimpik,” katanya.

Apa pun semua pihak termasuk BAM dan para pemain perlu berlapang dada dengan sebarang kritikan membina demi kemajuan badminton negara.

* Ahmad Syahir Kassim ialah Wartawan Sukan Sinar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!