Penduduk resah jalan rosak teruk


Keadaan jalan menuju ke pusat bandar Temerloh yang rosak dan berlubang membimbangkan penduduk.
Keadaan jalan menuju ke pusat bandar Temerloh yang rosak dan berlubang membimbangkan penduduk.
A
A
A

RUANGAN Apa Khabar Rakyat kali ini menyingkap isu jalan rosak yang membelenggu penduduk Kampung Bangau Parit, Taman Desa Bangau, Taman Kelisa di Temerloh dan kawasan sekitarnya.

Difahamkan, masalah dipercayai berpunca daripada kenderaan berat yang sering menggunakan laluan itu, telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Jalan rosak di kawasan itu bukan sahaja merosakkan kenderaan tetapi mengakibatkan kemalangan yang mendatangkan kecederaan dan berisiko meragut nyawa penggunanya.

Khairunnizam berada di lokasi kemalangan yang mengakibatkan kaki kirinya patah pada Disember lalu.
Khairunnizam berada di lokasi kemalangan yang mengakibatkan kaki kirinya patah pada Disember lalu.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, ROSILAWATI ROSEDI yang mendengar keluhan penduduk terlibat berhubung isu tersebut.

TEMERLOH - Lebih 2,000 penduduk berdepan risiko kemalangan setiap kali menggunakan laluan utama ke pusat bandar Temerloh disebabkan keadaan jalan yang rosak teruk.

Difahamkan, kerja-kerja menurap jalan itu sudah beberapa kali dilakukan namun masalah itu tetap tidak berkesudahan.

Artikel Berkaitan:


KHAIRUNNIZAM
KHAIRUNNIZAM

Seorang penjawat awam yang ditemui, Khairunnizam Mohamad, 47, dari Kampung Bangau Parit memaklumkan, dia merupakan antara penduduk yang pernah terlibat dalam kemalangan di laluan tersebut.

Jelasnya, dalam kejadian pada 9 Disember lalu itu dia yang menunggang motosikal terlanggar lubang sebelum terbabas.

“Sebelum ini tengok orang lain kemalangan di jalan tersebut, kali ini diri sendiri jadi mangsa. Sebagai penduduk dan pengguna memang sangat kecewa sebab sudah banyak kali aduan dibuat tetapi keadaan tetap sama, turap pun sudah beberapa kali,” katanya.

Dia yang turut bekerja sebagai tukang masak pada waktu malam mendakwa pendapatannya terjejas selepas kaki kirinya patah akibat kemalangan itu.

“Bila dah patah kaki, tak dapat bekerja sebagai tukang masak pada waktu malam sedangkan banyak yang perlu ditanggung demi kelangsungan hidup bersama keluarga,” jelas bapa kepada lapan anak itu.

LUKMAN
LUKMAN

Seorang lagi penduduk, Lukman Nul Hakim Ab Majid, 43, pula berkata, dia juga nyaris beberapa kali menjadi mangsa lubang di laluan tersebut.

“Sampai bila penduduk nak berdepan masalah sama sejak beberapa tahun lalu.

“Benda sudah lama berlaku tapi hingga kini tiada penyelesaian terbaik untuk jangka masa panjang,” ujarnya.

Dia berharap pihak berwajib segera mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu tersebut sebelum ada nyawa yang melayang.

“Saya juga pernah lihat sendiri kemalangan berlaku di situ dan terbaru pada awal bulan ini apabila sebuah kereta terbalik di laluan ini.

“Jangan bila sudah terhantuk baru tengadah sedangkan masalah ini sepatutnya diselesaikan dengan segera oleh pihak bertanggungjawab,” tegasnya.


YUSMANIZAM
YUSMANIZAM

Sementara itu, Yusmanizan Mohd Yusof, 42, kesal dengan keadaan jalan yang rosak teruk dan mengakibatkan ramai penduduk nyaris kemalangan.

“Kita sebagai pengguna dan penduduk memang risau setiap kali menggunakan laluan utama ini. Kena lebih berhati-hati.

“Saya rasa banyak pengguna yang nyaris kemalangan di laluan ini termasuk saya sendiri selain berdepan risiko kenderaan rosak,” katanya.


Kerosakan jalan yang tidak dibaik pulih dengan sempurna.
Kerosakan jalan yang tidak dibaik pulih dengan sempurna.

Pihak berwajib diminta respons surat aduan, segera selesaikan masalah

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bangau Parit, Mohd Nizam Abdul Ghani memberitahu, masalah jalan rosak sudah beberapa kali dilaporkan kepada pihak berkaitan.

“Setakat ini maklum balas yang diterima ialah ada beberapa punca antaranya masalah paip bocor yang menyebabkan laluan itu rosak.

ROSLAN
ROSLAN

“Saya sangat berharap supaya masalah ini segera diatasi kerana penduduk sudah lama bersabar. Ia laluan utama dan ramai penduduk yang menggunakannya,” katanya.Sementara itu, Pengerusi Jalinan Komuniti Taman Desa Bangau dan Taman Kelisa, Roslan Mohd Nadzri memberitahu, terdapat kira-kira 500 penduduk di dua kawasan perumahan itu yang menggunakan laluan utama tersebut.Beliau berkata, pihaknya telah menghantar surat aduan kepada beberapa pihak berkaitan pada Oktober lalu.

“Laluan itu berselekoh dan berisiko kepada pengguna terutamanya kepada keselamatan penunggang motosikal.“Besar harapan penduduk kalau ia segera dibaiki. Kami juga berharap pokok yang terdapat berhampiran laluan itu ditebang supaya tidak mengganggu pandangan pengguna,” katanya yang mendakwa laluan itu rosak sejak 2018.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!