Dua beranak hidup dalam sampah, najis

Keadaan semasa memaksa Erwan Dahari, 46, berhenti kerja untuk menjaga ibunya Miram Kadir, 77, yang uzur.
Keadaan semasa memaksa Erwan Dahari, 46, berhenti kerja untuk menjaga ibunya Miram Kadir, 77, yang uzur.
A
A
A

IPOH - Hidup dalam rumah yang dipenuhi sampah sarap termasuk takungan najis bertahun lamanya.

Siapa sangka dua beranak ini hidup di tempat yang tidak layak dihuni oleh manusia, diburukkan lagi dengan air yang melimpah di sepanjang ruang masuknya.

Keadaan semasa memaksa Erwan Dahari, 46, berhenti kerja untuk menjaga ibunya Miram Kadir, 77, yang uzur. Malah, Erwan sendiri mengakui sebelum ini dirinya ada menerima rawatan untuk stres atau tekanan jiwa dan boleh dikategori sebagai orang kurang upaya (OKU) mental.

Anak kedua daripada tiga beradik ini menjelaskan, sehingga kini dia dan ibu hanya bergantung kepada bantuan Baitulmal RM300 setiap bulan, namun tidak mencukupi kerana perlu membayar sewa rumah RM250.

"Kami berdua sudah menetap di sini selama tujuh tahun, sebelum ini saya ada kerja di kilang berdekatan tetapi terpaksa berhenti sebab mak sakit tua dan sekarang sudah agak nyanyuk.

"Memang ada juga kakak dan adik perempuan bantu, tetapi mereka pun bukan orang senang. Kakak di Klang dan adik di Ipoh. Mereka ada datang dan bersihkan rumah ini sekali sekala.

"Memang ada cakap-cakap dari orang ramai yang suruh saya hantar mak ke rumah orang orang tua, tetapi selagi saya ada, saya akan jaga mak walau susah macam mana pun.

"Selain Baitulmal dan jiran berdekatan yang selalu hantar makanan, memang tiada dapat bantuan apa-apa, terus terang cakap kalau ikutkan hati saya memang tidak mampu untuk teruskan hidup," katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Taman Silibin, di sini.

Artikel Berkaitan:

Bagi sesiapa sahaja yang memasuki rumah ini pasti mengakui ia sangat daif untuk didiami, apatah lagi oleh warga emas yang tidur tanpa beralaskan tilam, bantal serta selimut ketika cuaca sejuk.

Hidup dalam rumah yang dipenuhi sampah sarap termasuk takungan najis bertahun lamanya.
Hidup dalam rumah yang dipenuhi sampah sarap termasuk takungan najis bertahun lamanya.

Ditambah pula air hujan yang tempias memasuki rumah, susulan banyak tingkap dan siling yang sudah uzur dimakan zaman.

"Bantuan Baitulmal RM300 itu tidak cukup sebab nak bayar sewa, elektrik dan air, kadang-kadang hendak beli makan memang tiada, jiran yang bantu bagi makanan.

"Rumah ini memang sudah sangat teruk, tandasnya sudah tersumbat, air pun sudah sampai melimpah dalam rumah.

"Sampah sarap ini memang saya ada bersihkan tetapi dalam keadaan saya yang sebegini (berada dalam tekanan) saya tidak mampu, di samping perlu menjaga mak.

"Saya takut jadi tertekan macam dulu dan sakit datang balik, saya tidak boleh kalau fikir banyak masalah," jelasnya.

Dalam meneruskan kehidupan, tiada apa yang diharapkan Erwan melainkan sebuah rumah atau tempat berteduh yang lebih selesa untuk mereka berdua.

"Kalau boleh saya memang mahukan tempat yang lebih baik, untuk keselesaan mak juga.

"Saya memang ada fikir cari rumah lain, tetapi dengan keadaan saya sakit dan tidak bekerja macam mana hendak menyewa, memang terpaksa juga duduk sini," katanya lagi.

Salah seorang jiran dikenali sebagai Ina memberitahu dua beranak itu memang disenangi penduduk setempat dan tidak pernah membuat sebarang masalah.

"Mereka berdua memang selalu tegur dan baik. Saya dapat tahu dari salah seorang jiran di sini juga tentang keadaan mereka.

"Sebak juga bila dapat masuk hari ini dan lihat sendiri keadaan rumah yang begitu daif, harap ada bantuan untuk opah dan anaknya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Puteri Kebajikan Negeri Perak, Wan Noorashikin Noran yang berkunjung ke kediaman dua beranak itu untuk menyampaikan bantuan berkata, beliau mendapat maklumat berhubung perkara itu daripada seorang penduduk di penempatan itu.

"Dengan keadaan rumah opah itu, saya rasa masalah disebabkan anaknya (Erwan) yang tidak sihat. Kita perlu bantu dapatkan tempat tinggal selesa untuk mereka.

"Saya dapat panggilan daripada jiran di sini yang memaklumkan opah memerlukan lampin pakai buang dan kain batik.

"Bila saya lihat gambar rumah yang dihantar itu nampak sangat daif, bagaimanapun ketika datang sendiri hari ini memang sangat terkejut lihat keadaan dalam rumahnya sampai tiada tempat untuk duduk dan tidur.

"Kita cuba gerakkan usaha awal untuk beri makanan dan pakaian untuk opah, selain itu saya akan cuba mohon bantuan berkaitan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini," katanya.

Sebarang maklumat lanjut atau bantuan untuk dua beranak ini boleh hubungi Wan Noorashikin di talian 012-5092557. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!