Pemandu BMW tak mengaku sebabkan kematian dua guru
BUTTERWORTH - Seorang jurutera penyelenggaraan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyebabkan kematian dua guru pada Disember tahun lalu.
Teoh Joo Leong, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani pada Rabu.
Mengikut pertuduhan, Joo Leong didakwa sebagai pemandu kenderaan dengan kandungan alkohol di dalam darahnya melebihi had ditetapkan dan menyebabkan kematian kepada Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, 31, dan Muhammed Ahsan Mohamed Ayub, 32.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Permatang Baru, Seberang Perai Utara pada jam 2.30 pagi, 16 Disember 2023.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih daripada RM100,000.
Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Yi Bin dan Chew Anthony.
Nurameera kemudiannya memohon wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Yi Bin dalam rayuannya meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan kepada anak guamnya dengan alasan wang jaminan adalah untuk memastikan tertuduh menghadirkan diri ke mahkamah, bukannya hukuman.
"Anak guam saya bekerja sebagai jurutera penyelenggaraan dengan gaji bulanan RM7,000.
"Dia sudah bercerai namun perlu menanggung tiga anaknya yang masih bersekolah.
"Dia juga perlu menyara kedua-dua ibu bapanya yang sudah tua dan uzur berusia 76 dan 68 tahun.
"Tambahan pula, anak guam saya hadir ke mahkamah seperti yang diarahkan bersama seorang penjamin.
"Ini menunjukkan dia tidak berisiko untuk melarikan diri.
"Oleh demikian, mohon wang jaminan minimum untuk tertuduh," katanya.
Siti Zulaikha kemudiannya menetapkan wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Kes ditangguh sehingga 7 Mac depan untuk serahan dokumen.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki yang memandu kereta BMW ditahan polis bagi membantu siasatan kemalangan mengorbankan dua guru di Jalan Permatang Baru, Kepala Batas, Pulau Pinang jam 2.30 pagi pada 16 Disember lalu.
Pemangku Ketua Polis Seberang Perai Utara, Superintenden Siti Nor Salawati Saad berkata, hasil ujian pernafasan ke atas pemandu BMW mendapati paras kandungan alkohol melebihi had dibenarkan.
Jelasnya, soal siasat mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu BMW hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki dua guru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!