Pelajar orang asli sedih rindukan keluarga
CAMERON HIGHLANDS - Gelagat murid Tahun Satu yang termenung memandang dinding sekolah mengundang pelbagai reaksi netizen.
Perkara tersebut dikongsikan gurunya melalui akaun Twitternya, @bungolale memaparkan murid bernama Jasniman itu tertunduk menghadap dinding seorang diri.
Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Lemoi, di sini memberitahu Jasniman sedang merindui keluarganya dan alam persekolahan adalah sesuatu yang baharu kepada kanak-kanak tersebut yang kali pertama berjauhan daripada ibu bapanya.
Bagi anak-anak yang tinggal di pedalaman, sudah menjadi kebiasaan mereka diberikan asrama bagi memudahkan perjalanan ke sekolah
"Gelagat Jasniman di hari pertama persekolahan. Semalam datang elok je duduk asrama semua, masuk tengah hari ini, dah mula merajuk, menangis.
"Mungkin dah mula rindu emak ayah di kampung. Jasniman kena kuat tau! Insya-ALLAH, dia akan baik-baik sahaja. Maklumlah tak pernah berjauhan daripada keluarga. Tak pernah juga ke kelas pra.
"Sekolah adalah sesuatu yang baharu buat dia. Memang akan ambil masa untuk sesuaikan diri. Cikgu-cikgu dan kawan-kawan akan bantu Jasniman. Terima kasih semua," tulisnya di Twitter.
Perkongsian oleh @bungolale di laman Twitter kini menjadi tular di media sosial yang meraih 2,500 ulang kicau dan 4,900 tanda suka.
Rata-rata netizen memberi sokongan dan semangat kepada Jasniman agar terus tabah kerana berjauhan dengan keluarganya di samping mendoakan agar pelajar tersebut dipermudahkan urusan dalam pelajarannya.
"Betullah tugas cikgu ini berat. Kalau saya yang jumpa Jasniman, saya 'join' sekali bawa diri dengan dia sambil menangis juga. Emosi betul tengok budak-budak bersedih ni," tulis @syzafhzlin
@HafizaHipni86 pula memberitahu, "ALLAHU sedih saya tengok kecil-kecil dah berjauh dengan keluarga. Adik kena kuat ya untuk masa depan adik. Lagipun cikgu yang mengajar adik ni baik. Insya-ALLAH dia akan mendidik adik jadi anak bangsa yang berjaya."
Pagi semua. Saya cuma nak jelaskan, bukan hanya kami satu sekolah sahaja di Malaysia ini yang anak-anak sekecil tahun 1 sudah duduk di asrama. Asrama disediakan kerana kedudukan perkampungan yang jauh dan kesukaran untuk akses ke sekolah. https://t.co/LPZ9Q81amp
— BungoLale (@bungolale) January 3, 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!