[VIDEO] Remaja 17 tahun didakwa bunuh warga emas
SEREMBAN - Seorang remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang warga emas awal Januari lalu.
Tertuduh yang berusia 17 tahun itu hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan perbuatan membunuh Muhammad Zahid Nagappan, 74, di sebuah rumah di Kampung Pasir, Jalan Siliau, Rantau di Seremban.
Kesalahan itu dilakukan pada 3 Januari 2024 antara lebih kurang jam 11.30 malam hingga 4 Januari 2024 lebih kurang 10 pagi.
Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, M Pusppa tidak mencadangkan jaminan memandangkan kes di bawah 302 Kanun Keseksaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 18 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini media melaporkan lelaki warga emas ditemukan maut dengan kesan tikaman di bahagian belakang badan dan kedua-dua buku lali dalam kejadian berkenaan.
Mangsa tidak bekerja dan disahkan sudah meninggal dunia ketika ditemui.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!