Tujuh warga Myanmar cuba masuk ke Malaysia ditangkap
BANGKOK - Sekumpulan warga Myanmar yang membawa pasport palsu ditangkap di selatan Thailand ketika cuba masuk ke Malaysia untuk bekerja.
Polis Imigresen Thailand menahan tujuh lelaki terbabit yang menaiki bas dari Bangkok ke Sungai Kolok, Narathiwat untuk ke Malaysia.
Ketua Bahagian Siasatan Biro Imigresen Divisyen 6 (wilayah selatan), Col Pakayot Thanongsak berkata, hasil maklumat, tujuh orang ditangkap di pusat pemeriksaan Kuar Meed, Daerah Chana di wilayah Songkhla, selatan Thailand pada jam 4.30 pagi (waktu tempatan) pada hari Krismas.
“Tindakan mereka mencurigakan apabila polis memeriksa pasport dan barangan milik mereka. Sistem biometrik mengesan suspek menggunakan pasport palsu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pakayot berkata, siasatan mendapati warga Myanmar terlibat dibantu oleh ejen pemerdagangan manusia dari Dawei, Myanmar.
"Kami percaya mereka menyelinap masuk ke Thailand melalui Wilayah Kanchanaburi kemudian ke Bangkok untuk mendapatkan 'pasport baharu' sebelum perjalanan ke Malaysia. Suspek mengaku mereka ke Malaysia untuk bekerja,” katanya
Dalam kes berasingan, Pakayot berkata, sekumpulan 14 warga Myanmar termasuk lima wanita ditangkap di Terminal Bas Hatyai di Wilayah Songkhla kerana menggunakan pasport palsu.
Beliau berkata, mereka ditahan ketika menunggu ejen menjemput mereka sebelum dihantar ke tempat kerja.
“Siasatan awal mendapati setiap seorang membayar 22,000 baht untuk mendapatkan pasport untuk bekerja di Thailand,” katanya sambil menambah mereka akan dituduh memasuki negara itu secara haram dan membawa pasport palsu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!