Sindiket seleweng diesel sasar stesen minyak di Ampang kecundang
KUALA LUMPUR - Pergerakan ulang-alik beberapa lori bonded di 20 stesen minyak di sekitar Ampang, Selangor membongkar kegiatan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi menerusi Op Tiris 3.0 pada 10 Januari lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, kegiatan itu ditumpaskan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) hasil risikan hampir seminggu susulan serbuan di sebuah stor haram di Chan Sow Lin dekat sini.
Menurutnya, lima lelaki tempatan yang berperanan sebagai pemandu lori dan penjaga stor berusia 35 hingga 57 tahun turut ditahan.
"Sitaan semula telah dilakukan oleh KPDN Kuala Lumpur melibatkan empat lori jenis bonded lima tan, dua buah skid tank berkapasiti 20,000 liter setiap satu, 40 unit IBC tank dan lima unit pam penyedut berserta hos dengan nilai keseluruhan RM300,000," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat KPDN Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
Tambah beliau, turut disita 44,000 liter cecair disyaki diesel bernilai RM94,600.
Ariffin berkata, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak pertengahan Disember tahun lalu selain semakan stor terbabit didapati tidak memiliki sebarang lesen atau permit bagi berurusan dengan barang kawalan iaitu diesel.
"Sindiket ini membuat pembelian diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak dalam kawasan tertentu, di mana bagi kes ini semua pembelian dilakukan di kawasan Ampang.
"Kita tidak menolak sebarang kemungkinan di mana aktiviti ini dijalankan secara bersindiket serta mengawal kawasan tertentu," ujarnya.
Tegasnya, siasatan juga dijalankan ke atas stesen minyak terbabit dan kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Dalam pada itu, Ariffin memberitahu, sepanjang tahun 2023, KPDN Kuala Lumpur telah membuka sebanyak 10 kertas siasatan melibatkan 15 tangkapan warga tempatan dan rampasan 135,000 liter diesel bernilai RM290,250 di bawah tindakan Ops Tiris berasaskan sumber risikan sendiri dan juga kerjasama dengan pihak PDRM.
"KPDN Kuala Lumpur juga ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak PDRM dan agensi penguatkuasaan lain yang telah banyak membantu dalam aktiviti penguatkuasaan undang-undang di bawah portfolio KPDN terutamanya melibatkan kesalahan Ops Tiris," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!