Letak integriti elemen utama dalam diri - Ayob Khan
KUALA LUMPUR - Integriti merupakan elemen utama yang perlu ditanam dalam diri setiap masyarakat terutama menjayakan agenda negara menentang budaya rasuah.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seluruh lapisan masyarakat diminta untuk menyematkan diri dengan pegangan utuh terhadap amalan integriti tinggi.
Beliau berkata, integriti bukan sahaja perlu disemai dalam diri, malah dipraktikkan dalam sistem sesebuah organisasi atau syarikat supaya rasuah serta sebarang penyelewengan dapat diatasi sebaiknya.
"Bagi saya, integriti merupakan perkara paling penting berbanding perkara-perkara lain untuk kita laksanakan dalam apa jua bidang diceburi.
"Perkara keduanya adalah keberanian, dalam usaha kita memerangi budaya rasuah dan membuat perubahan," katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Integriti Edgenta 2024 di Menara UEM, Bangsar South, dekat sini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta), Syahrunizam Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, sudah tiba masa untuk seluruh masyarakat membuat perubahan menolak perbuatan rasuah.
Kata beliau, ketelusan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab diberikan merupakan asas utama pertumbuhan mampan negara ke arah kecemerlangan.
Tegas beliau, tanpa integriti dan ketelusan, sesebuah syarikat tidak mampu untuk mencipta kejayaan, seterusnya gagal membentuk sebuah negara maju jaya.
Dalam pada itu kata beliau, inisiatif yang dilaksanakan oleh UEM Edgenta menolak budaya rasuah merupakan langkah terbaik membentuk persekitaran kerja bebas rasuah.
Jelas beliau, kesungguhan UEM Edgenta dalam perkara itu jelas membuktikan komitmen syarikat tersebut menangani budaya rasuah serta penyelewengan.
"Besar harapan saya, tindakan proaktif ini akan memberi inspirasi kepada syarikat lain di luar sana.
"Saya percaya kita semua di setiap lapisan masyarakat dapat membanteras isu rasuah tanpa kompromi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!