Ibu reda, mayat anak ditemui selepas 2 hari jatuh Sungai Benut
PONTIAN - "Saya bersyukur mayatnya ditemui pagi tadi." Demikian luah ibu kepada Allahyarham Muhammad Amirul Muzamil, 25, iaitu pemuda yang ditemui mati lemas pada awal pagi Rabu, selepas dua hari dilaporkan terjatuh di Sungai Bunut.
Ibu mangsa, Ramlah Hashim, 71, berkata, beliau reda dengan pemergian anaknya itu walaupun baru berjumpa seminggu lalu.
"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Parit Semerah setelah urusan bedah siasat selesai dijalankan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, mayat mangsa ditemui timbul di permukaan air sejauh kira-kira lima meter dari lokasi kejadian pada jam 6.15 pagi oleh anggota bomba Pontian yang sedang membuat pemantauan dan rondaan di kawasan kejadian.
Menurutnya, mayat pemuda terbabit telah dibawa ke darat oleh anggota bomba sebelum berhubung dengan keluarga mangsa untuk dibuat pengecaman.
“Mayat mangsa dikenali melalui pengecaman oleh kakak kandungnya, Nurashikin Muzamil, 42,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Tambah Mohammad Shofee, pemeriksaan ke atas mayat mendapati tidak sebarang unsur jenayah.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pontian bagi tujuan bedah siasat.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam pada malam Isnin, mangsa dan rakannya dilaporkan terjatuh ke dalam sungai ketika memancing berdekatan tepian Medan Selera Pekan Benut.
Rakannya bagaimanapun berjaya diselamatkan pemancing lain yang berada di tempat kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!