Polis buru pengasuh warga asing dera budak tiga tahun
KUALA LUMPUR - Pengasuh warga asing yang melarikan diri selepas dipercayai mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sehingga patah kaki masih giat diburu polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pengasuh terbabit melarikan diri sebelum majikannya tampil membuat laporan polis pada 8 Januari lalu.
"Siasatan kes ini sudah dibuka dan usaha masih dijalankankan untuk mengesan keberadaan pengasuh terbabit," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
11 Januari lalu, media melaporkan mangsa dilaporkan dipercayai dicubit, digigit dan dipukul sehingga patah kaki oleh pengasuhnya yang juga wanita warga asing.
Perkara berkenaan terbongkar selepas kanak-kanak malang itu tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan dialami pada Isnin minggu lalu.
Ibu kanak-kanak yang berusia 36 tahun mendakwa mengambil pengasuh itu daripada sebuah agensi pekerjaan warga asing kira-kira tiga tahun lalu.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya turut mengesahkan menerima laporan ibu mangsa pada 8 Januari lalu.
Rakaman keterangan ibu mangsa sudah diambil manakala siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 sedang dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!