Keluarga harap keadilan berpihak kepada Jahidah
JOHOR BAHRU - Keluarga kepada wanita yang dipukul sehingga koma oleh suaminya tiga tahun lalu, berharap keadilan untuk Jahidah Nordin, 46.
Bapa Jahidah, Nordin Kassim, 70, bersyukur dengan keputusan akhir kes pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas menantunya, Rosmaini Abd Raof, 41.
“Hari ini perbicaraan masih ditangguh kerana OKT (orang kena tuduh) diarah untuk bela diri, belum ada keputusan.
“Harapan saya, harap saksi-saksi, laporan doktor (perbicaraan bela diri) nanti memihak kepada anak saya,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah selepas keputusan kes akhir pendakwaan di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Nordin yang juga pesara kerajaan berkata, tiba di Mahkamah Sesyen pada jam 8 pagi ditemani anaknya Fauziah, 43, dan Fazariah, 38.
Menurut Nordin, sebaik tiba dari Keningau, Sabah, dua hari lalu, beliau terus menziarahi anaknya, Jahidah yang kini masih terlantar di rumah anaknya, Fauziah di Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan.
Katanya, Jahidah yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik masih terlantar dan menggunakan tiub untuk makan atau minum.
“Keadaan anak saya masih lagi sama, tak boleh bercakap, bergerak, gerak tangan dan makan minum masih menggunakan tiub ikut hidung,” katanya.
Sebelum itu, Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu, mengarahkan bekas suami Jahidah, Rosmaini untuk membela diri selepas Hakim Fatimah Zahari membuat keputusan pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie.
Mahkamah menetapkan 24 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan Jahidah yang hamil parah selepas dipercayai dipukul suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Johor Bahru pada 4 Mei 2021.
Kakitangan sebuah jabatan kerajaan itu kemudian dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, di sini, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Jahidah dilaporkan selamat melahirkan bayi lelaki, Ehsan Nufail menerusi pembedahan di Hospital Tuanku Ja’afar Negeri Sembilan pada 1 Disember 2021.
Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban dilaporkan membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!