Lelaki warga Pakistan disyaki terlibat kes samun, rogol ditahan

Anbalagan (tengah) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang pada Rabu.
Anbalagan (tengah) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang pada Rabu.
A
A
A

SERDANG - Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membantu polis memberkas seorang lelaki warga Pakistan selepas melakukan jenayah samun dan rogol seorang wanita di jejantas Keretapi Tanah Melayu (KTM) di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, mangsa berusia 29 tahun bekerja sebagai promoter sementara di sebuah pusat beli belah di Putrajaya dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari tempat kerja.

"Mangsa telah disamun telefon bimbit sebelum dirogol di jejantas itu, di mana suspek turut mengacukan pisau," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini pada Rabu.

Menurutnya, mangsa kemudian tampil membuat laporan dan hasil siasatan polis memberkas suspek berusia 23 tahun itu di kaki lima sebuah kondominium di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan pada jam 8.30 malam Isnin.

"Seorang lagi rakan senegara berusia 29 tahun turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun pada 30 Disember lalu yang menyebabkan seorang wanita berusia 20 tahun kerugian dua telefon bimbit dan mengalami kecederaan di jari kanan,” katanya.

Anbalagan berkata, kedua-dua suspek tidak bekerja di mana semakan mendapati suspek pertama masuk ke negara ini sejak Ogos tahun lalu manakala suspek kedua pula sudah enam bulan berada di negara ini.

“Suspek juga akan membawa pin di mana akan meminta mangsa membuka telefon bimbit menggunakan pin itu untuk membuang sim kad sebelum diarahkan untuk ‘reset’ semula telefon bimbit,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Selasa hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut 392/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) )c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel Berkaitan:

“Kita menyarankan mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa samun kepada suspek ini untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!