Kelantan FC sah tersingkir Liga Super
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) telah menolak rayuan yang dikemukakan oleh Kelantan FC untuk memohon lesen kebangsaan sekali gus tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.
Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Pelesanan Kelab MFL, Mohamad Yasin Abdullah berkata, keputusan tersebut dibuat selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.
Ia sekali gus menyaksikan skuad pantai timur itu kemungkinan akan beraksi dalam saingan Liga M3 musim depan.
"Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) telah bermesyuarat semalam (16 Januari) dan membuat keputusan bahawa rayuan kelab Liga Super Kelantan FC untuk memohon Lesen Kebangsaan bagi musim 2024-2025 adalah ditolak.
"Keputusan itu diumumkan kepada pasukan hari ini melalui pemakluman rasmi sekali gus menyaksikan Kelantan FC tidak layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim 2024-2025," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, badan bebas First Instance Body (FIB) telah menolak permohonan Kelantan untuk mendapatkan lesen kebangsaan apabila gagal untuk melengkapkan kriteria kewangan ditetapkan badan pengelola liga itu.
Ia meliputi isu tunggakan gaji serta kes tuntutan oleh bekas pemain serta pegawai yang sudah dibawa ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Mereka kemudiannya diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan pada 8 Januari lalu, namun tetap gagal memenuhi segala kriteria untuk diberikan lesen kebangsaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!