'Adik Budin tak dok doh'
BACHOK - “Adik Budin tak dok doh (sudah tiada).”
Demikian rintihan seorang kakak berulang kali sambil menangis teresak-esak sehingga hampir pengsan melihat mayat adik bongsunya yang berusia 15 tahun terbaring di atas jalan dalam keadaan berlumuran darah selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Badak, Bachok di sini hari ini.
Syairah Suhaimi, 20, tiba di lokasi kejadian pada jam 8 malam dan menangis pilu melihat mayat pelajar tingkatan tiga berkenaan, Mohd Sharifuddin Suhaimi.
Wanita itu kemudian dilihat longlai lalu dipapah abang dan sepupu lelaki yang turut berada di lokasi kejadian.
Katanya, dia amat rapat dengan adiknya yang mesra disapa Adik Budin itu, namun sejak seminggu kebelakangan ini, remaja tersebut lebih banyak mendiamkan diri.
“Lama dah dia tak bercakap, tanya barang sekolah dah siap untuk mulakan sekolah ini pun dia tidak jawab. Diam saja,” rintihnya lagi sambil menangis sebelum dilihat hampir pengsan dan dibawa beredar dari tempat kejadian.
Sementara itu sepupu mangsa, Mouhammad Aiqal Daniel Mohd Zawawi, 19, berkata, sebelum kejadian, mereka berkonvoi dengan menaiki motosikal untuk pulang ke rumah selepas minum dan makan di Tok Bali, Pasir Puteh.
Katanya, kira-kira lapan orang menunggang motosikal masing-masing bersama mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda EX5.
“Tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa yang berada di depan berselisih sebuah motosikal dalam kedudukan sehala yang tidak berlampu sebelum terjatuh ke jalan raya.
“Ketika jatuh, sebuah kereta dipercayai jenis Perodua Viva berwarna putih datang dari arah bertentangan dan melanggar mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, mayat dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk bedah siasat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil mengesan pemandu Perodua Viva berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!