Kerajaan Pahang, Sinar Harian kolaborasi terbit dokumentari, sisipan khas Agong ke-16
RAUB - Kerajaan Negeri Pahang dan Sinar Harian menjalin kolaborasi dalam projek dokumentari dan sisipan khas sempena berakhirnya tempoh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memayungi negara.
Exco Komunikasi, Multimedia, Belia Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerjasama ini amat penting dalam mendokumentasikan detik-detik bersejarah yang akan menjadi panduan dan tatapan generasi kini serta masa hadapan.
“Penampilan Sinar Harian kali ini juga diharap boleh menjadi kekuatan jalinan hubungan kerajaan negeri dan pihak media.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pihak media seperti ini atas kepakaran yang ada di pihak Sinar Harian,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong di sini.
Fadzli turut mengucapkan terima kasih di atas inisiatif baik yang dilaksanakan Sinar Harian selaku pengamal media dalam menjalankan amanah bagi memastikan informasi berguna dapat disampaikan kepada rakyat.
“Ini penting supaya maklumat dan mesej yang hendak disampaikan oleh kerajaan negeri terus diperoleh atau disalurkan kepada rakyat melalui pelbagai platform yang ada di peringkat Sinar Harian,” katanya.
Sinar Harian buat julung kalinya akan menerbitkan sebuah dokumentari berlatarbelakangkan cabaran dilalui Yang di-Pertuan Agong ke-16 sepanjang tempoh lima tahun pemerintahan yang akan disiarkan pada 28 Januari manakala sisipan khas pula akan diterbitkan pada 30 Januari 2024.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal menamatkan pemerintahan baginda berkuat kuasa 30 Januari ini sebelum pulang ke Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!