Dicekup selepas empat jam menyamun

Kereta mangsa yang dilarikan suspek. Foot ihsan polis
Kereta mangsa yang dilarikan suspek. Foot ihsan polis
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki tidak sempat berseronok dengan hasil samun di dua rumah di daerah ini apabila ditahan polis selepas empat jam melakukan jenayah itu pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan jam 1 pagi dan turut ditemui dua kenderaan yang dilarikan dari rumah mangsa.

"Jam 9 malam pada Selasa, polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 53 tahun mengatakan rumahnya di Taman Yoon Chan, di sini dipecah masuk.

"Mangsa juga telah dipukul dan kereta jenis Perodua Myvi miliknya dibawa lari oleh suspek," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, tiga jam selepas itu iaitu lebih kurang jam 12.12 tengah malam, satu lagi kejadian samun dilaporkan berlaku di Taman Layang-Layang di sini membabitkan mangsa lelaki berusia 39 tahun.

Ujarnya, mangsa mengatakan telah dicederakan dan kereta jenis Nissan Sentra miliknya juga telah dilarikan suspek.

"Hasil siasatan mendapati, suspek telah memasuki kedua-dua rumah yang tidak berkunci dan mengambil kunci kereta lalu membawa lari kedua-duanya.

"Hasil operasi yang dilakukan pada jam lebih kurang 1 pagi, polis berjaya menahan seorang lelaki dan turut ditemui dua kenderaan tersebut, tapi mengalami kerosakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, suspek direman enam hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 394/186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kata Arifai, suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan positif methamphetamine.

"Dengan tertangkapnya suspek dalam kes ini, polis telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes samun di sekitar daerah ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!