Mustapa calon sesuai ganti Dr Maszlee
KOTA BHARU - Individu yang dilihat layak mengisi kekosongan jawatan Menteri Pendidikan yang ditinggalkan Dr Maszlee Malik ialah Datuk Seri Mustapa Mohamad, penganalisis politik, Profesor Madya Dr Rusdi Omar.
Rusdi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) merupakan satu kementerian penting dan perlu diberikan pemimpin senior yang banyak pengalaman serta kurang terlibat dalam kontroversi.
Menurutnya, Mustapa yang pernah memegang jawatan tersebut pada 2006 hingga 2008 pernah melakukan reformasi pendidikan sehingga negara dikenali di peringkat antarabangsa.
"Menteri ini perlulah seorang yang mesra, sangat berpengalaman dan berani sahut cabaran. Ciri-ciri tersebut saya lihat ada pada Tok Pa (Mustapa).
"Tidak salah kalau Dr Mahathir angkat beliau untuk terajui semula kementerian yang dia pernah terajui dahulu," katanya kepada Sinar Harian.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Terima kasih semua. Jalan terus': Maszlee
Rusdi berkata, beliau percaya Mustapa merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
"Pelantikan Mustapa dalam Kabinet nanti juga satu persiapan kepada Pakatan Harapan (PH) di Kelantan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Bila Maszlee meletak jawatan, ia memberi sinar yang cerah untuk Kelantan diberi satu kuota menteri bagi kebaikan PH di negeri tersebut. Tambahan pula Tok Pa bukan calang-calang pemimpin di negara ini. Dengan pengalaman luas Tok Pa sebagai menteri paling senior di banyak kementerian, maka tidak ada sebab beliau tak boleh diangkat sebagai Menteri Pendidikan yang baharu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!