Pekerja ladang maut terjatuh tingkat empat hospital

Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan terlentang di belakang lobi bangunan Blok B hospital berkenaan yang dipercayai telah terjatuh dari aras empat bangunan tersebut. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Ismail
Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan terlentang di belakang lobi bangunan Blok B hospital berkenaan yang dipercayai telah terjatuh dari aras empat bangunan tersebut. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Ismail
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang lelaki maut dipercayai akibat terjatuh dari tingkat empat Hospital Sultanah Nora Ismail dekat sini pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada petugas keselamatan Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat Johor pada jam 9.50 malam Selasa berhubung perkara berkenaan.

"Polis kemudiannya telah menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang di belakang lobi bangunan Blok B hospital berkenaan yang dipercayai telah terjatuh dari aras empat bangunan tersebut.

"Siasatan juga mendapati lelaki berusia 42 tahun yang merupakan seorang pekerja ladang itu sedang menerima rawatan di wad 4B sejak dimasukkan pada 7 Januari lalu akibat kemalangan jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Hasil bedah siasat mendapati kecederaan yang dialami mangsa adalah konsisten akibat jatuh dari tempat yang tinggi.

Pihak polis juga tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah berhubung insiden berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai 'Kematian Mengejut.'

Mayat mangsa kemudiannya dituntut oleh ahli keluarga dan dibawa ke rumah keluarganya di Kangkar Baru, Yong Peng.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!