Piala Asia: Wajib menang atau lupakan pusingan 16 terbaik

Skuad Harimau Malaya giat menjalani sesi latihan dalam menghadapi Piala Asia 2023 di Universiti Qatar. Foto Bernama
Skuad Harimau Malaya giat menjalani sesi latihan dalam menghadapi Piala Asia 2023 di Universiti Qatar. Foto Bernama
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya tidak mempunyai pilihan selain melunaskan misi wajib menang pada perlawanan kedua menentang Bahrain pada pentas Piala Asia 2023 jika mahu menghidupkan peluang mara ke pusingan 16 terbaik saingan itu.

Pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Richard Scully berkata, skuad kendalian Kim Pan-gon, harus segera melupakan kekalahan 0-4 kepada Jordan pada aksi pembukaan tempoh hari, sebaliknya perlu fokus melakukan persiapan rapi menjelang aksi hidup mati tersebut.

"Kalau kalah berdepan Bahrain kita dah boleh lupakan hasrat di Piala Asia, ia satu perlawanan yang mesti menang. Jangan pikirkan Korea Selatan dulu, yang dahulu perlu didahulukan.

"Harimau Malaya perlu susun atur dan kenal pasti kekangan apa yang timbul semasa perlawanan pertama menentang Jordan tempoh hari,” katanya selepas menjadi tetamu progam Hayya Piala Asia 2023 terbitan Bernama TV.

Scully berkata, langkah wajar dalam masa sama perlu diambil Pan-gon, bagi ‘mencatur’ pemain terbaiknya mengikut kesesuaian formasi yang akan diguna pada perlawanan menentang Bahrain di ranking 84 dunia tersebut.

"Guna profail yang betul, siapa pemain akan diturunkan, di mana pemain akan berada misalnya pemain tengah kita perkukuhkan. Jadi saya fikir kita ada peluang terbuka berdepan Bahrain,” katanya.

Bekas penjaga gol Pulau Pinang itu berkata, bukan masanya buat pengendali dari Korea Selatan itu ‘bereksperimen’ meletakkan kombinasi pemain dalam formasi yang tidak tepat, sekali gus mengundang padah pada skuad negara.

"Bukan letak satu kombinasi yang tak pernah berlaku dan mengharapkan ia berlaku pada hari perlawanan, saya rasa itu risiko yang paling tinggi kita ambil. Mengapa perlu dipecahkan pada ketika ia dah baik?

Artikel Berkaitan:

"Orang kata kenyataan ini kasar, tapi kenapa nak melatah kalau sesuatu perkara itu dah cantik, peluang-peluang yang sudah ada itu dengan susun atur terbaik kita gunakan, percayalah dengan apa yang ada jangan bagi indikasi dekat pihak lawan bahawa kita terpaksa melakukan sesuatu,” katanya.

Pada perlawanan sulung menentang Jordan pada 16 Januari, dua gol masing-masing oleh Mahmoud Almardi dan Mousa Altamari memberikan permulaan sempurna kepada Jordan, untuk mendahului saingan Kumpulan E, dengan berkongsi tiga mata bersama Korea Selatan di tempat kedua.

Malaysia akan membuat perhitungan dengan Bahrain di Stadium Jassim Bin Hammad, Sabtu ini sebelum bertemu Korea Selatan pada 25 Januari depan.

Sementara itu, satu pertemuan tertutup turut diadakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bersama skuad Harimau Malaya di hotel penginapan pasukan di Doha, Qatar pagi tadi.

Pertemuan tersebut diadakan bagi mengembalikan semangat mereka untuk berdepan Bahrain pada perlawanan kedua Kumpulan E itu pada Sabtu ini.

"Para pemain berjanji untuk bangkit dan sekurang-kurangnya perlu mendapatkan mata pada perlawanan tersebut,” kata Hamidin menerusi kenyataan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!