Jawi: Ketakutan yang terlampau
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik telah meletakkan jawatan. Katanya atas nasihat Perdana Menteri, maka beliau yang merupakan seorang yang taat dan setia akur dengan nasihat itu.
Maka Perdana Menteri yang pada mulanya dikatakan atas nasihatnya, telah pun juga menerima surat peletakan jawatannya. Dan akan mencari pengganti baru tidak lama lagi yang mungkin menurut khabar angin yang berhembus di media sosial, calon-calonnya terdiri daripada Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan mungkin juga Bang Non.
Menurut Dr Maszlee lagi, ada beberapa isu juga yang menyebabkan beliau meletakkan jawatan. Yang pertama, katanya, isu jawi, kedua isu sarapan pagi dan yang ketiga isu melibatkan YTL iaitu pemasangan internet di sekolah-sekolah.
Laman media sosial pun sekarang masih hangat membicarakan tentang peletakan jawatan itu. Bermacam-macam juga analisis, komen, pujian dan percakapan baik atau buruk telah dilemparkan di ruangan tersebut.
Saya tidaklah mahu memberi komen tentang peletakan jawatan itu. Memandangkan saya pun tidak tahu akan perkara duduk sebenar.
Hanya yang empunya diri dan yang terlibat yang mengetahuinya. Lagipun yang berhak memberi komen akan pencapaian Dr Maszlee, lebih afdal jika diberi kepada guru-guru sekolah dan anak-anak murid.
Cuma saya hanya ingin memberi komen tentang ketakutan melampau tulisan jawi yang masih hangat juga diperkatakan sampai sekarang. Sehinggakan, dengan isu jawi itu sahaja telah menyebabkan tercetusnya juga perdebatan yang melibatkan kaum.
Selain itu, jawi juga dikatakan penyebab kepada islamisasi yang akan ditanam ke dalam minda anak-anak sekolah. Pada masa sama, isu jawi itu telah dikaitkan juga penyebab kepada tiada perubahan dasar kepada sistem persekolahan.
Masih di takuk lama katanya. Yang sepatutnya, menurut beberapa orang bijak pandai yang memberi komen dalam artikel media sosial, perubahan kepada dasar sistem sekolah yang perlu diutamakan dahulu.
Sebelum ini, saya ada juga menulis tentang jawi. Saya amat memahami kenapa ramai orang yang bukan Melayu ini takut sangat dengan jawi. Anak-anak saya pun takut juga dengan jawi sebelum ini. Tetapi semasa cuti sekolah baru-baru ini kedua-kedua mereka telah selamat dijawikan. Alhamdulillah selesai.
Baru-baru ini pun, Dong Zhong yang mengalami ketakutan melampau tentang jawi telah dilarang pula untuk mengadakan perhimpunan membantah jawi. Saya berpendapat sebagai negara yang merdeka dan mempunyai kerajaan baharu yang dikatakan mempraktikkan kebebasan bersuara, mereka tidaklah patut dihalang. Peluang
Mereka patut diberi peluang untuk menyuarakan hasrat akan ketakutan melampau mereka tentang jawi. Dengar apa kata mereka, kenapa mereka takut sangat pada jawi sebenarnya. Kemudian mereka yang menyokong jawi bolehlah berdialog secara sihat.
Setelah dibuat dialog dan mengetahui permasalahan itu maka, kerajaan bolehlah membuat keputusan bijaksana sama ada akan meneruskan atau tidak.
Jika tidak dapat membuat keputusan secara menarik rambut dalam tepung atau tidak dapat juga menjaga benih daripada rosak maka ada cara lain juga yang boleh dibuat oleh kerajaan kita yang bijaksana.
Sudah semestinya jawi itu termaktub dalam perlembagaan. Ada tertulis dalam akta 32, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 itu. Dalam perenggan sembilan ada menyatakan tidak ada larangan pun untuk menggunakan bahasa jawi.
Justeru, pihak kerajaan, sekolah, syarikat dan orang persendirian serta suratkhabar, boleh sahaja menggunakan tulisan jawi nanti. Lebih elok lagi semasa mengeluarkan surat saman.
Sekarang Kementerian Kesihatan tengah galak mengeluarkan saman menghisap rokok di tempat awam. Maka surat saman bolehlah ditulis dalam tulisan jawi sahaja.
Beri kepada sesiapa sahaja yang melanggar peraturan itu.
Nanti lama-lama mereka terpaksalah belajar jawi juga. Dan kepada mereka yang membantah, janganlah bagai jawi belang puntung: didahulukan dia menyepak, dikemudiankan dia menanduk.
* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bertanya khabar, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!