'Boss' tidak adil buat penilaian, mangsa gangguan seksual boleh lapor polis

Siti Noridah berkongsi pengalaman bersama orang ramai berhubung jenayah gangguan seksual sempena Hari Integriti Edgenta 2024 di Menara UEM, Bangsar South, Kuala Lumpur pada Rabu. Foto SINAR HARIAN / HISYAMUDDIN AYUB.
Siti Noridah berkongsi pengalaman bersama orang ramai berhubung jenayah gangguan seksual sempena Hari Integriti Edgenta 2024 di Menara UEM, Bangsar South, Kuala Lumpur pada Rabu. Foto SINAR HARIAN / HISYAMUDDIN AYUB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jika majikan atau 'boss' dirasakan tidak adil membuat keputusan, mangsa gangguan seksual masih boleh mendapat pembelaan sewajarnya.

Ketua Unit Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Superintenden Siti Noridah Md Ayob berkata, mangsa boleh membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran bagi proses siasatan dijalankan.

Beliau berkata, doktor yang membuat pemeriksaan ke atas mangsa gangguan seksual juga boleh membantu membuat laporan polis.

"Setelah laporan polis dibuat, pegawai penyiasat boleh mendapatkan waran untuk memanggil saksi kejadian sekiranya saksi enggan memberi kerjasama.

"Mangsa perlu mengemukakan bukti seperti tarikh kejadian, masa, tempat kejadian, warna pakaian pelaku dan orang lain sekiranya ada di tempat kejadian," katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada sesi perkongsian berhubung jenayah gangguan seksual bersama masyarakat sempena Hari Integriti Edgenta 2024 di Menara UEM, Bangsar South, dekat sini.

Siti Noridah berkata, gangguan seksual terbahagi kepada lima bentuk iaitu secara lisan, bukan lisan atau gangguan isyarat, gangguan visual, fizikal serta psikologi.

Jelasnya, seseorang individu dinasihatkan untuk tidak sewenang-wenangnya menyentuh insan lain.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana katanya, sekiranya mangsa berasa tidak selesa dengan tindakan tersebut, laporan polis boleh dibuat dan tindakan boleh diambil kerana membuat gangguan seksual.

Malah menurut beliau, cara pandang yang seakan 'mahu makan orang' dan membuatkan seseorang itu tidak selesa, ia boleh dikategorikan sebagai gangguan bukan lisan.

"Individu yang menghendap mangsa juga boleh diambil tindakan di bawah Akta Anti Stalking 2023.

"Selain itu, Akta Antigangguan Seksual 2022 juga diguna pakai ke atas mana-mana penjawat awam atau pekerja swasta yang melakukan gangguan seksual," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!