Ikatan, persefahaman sesama pemain penting redakan tekanan hadapi Bahrain

Shahrul menjawab pertanyaan pemberita ketika ditemui wakil-wakil media Malaysia sempena Piala Asia 2023. Foto Bernama
Shahrul menjawab pertanyaan pemberita ketika ditemui wakil-wakil media Malaysia sempena Piala Asia 2023. Foto Bernama
A
A
A

IKATAN dan persefahaman sesama pemain, merupakan faktor terpenting dalam meredakan tekanan dihadapi skuad Harimau Malaya, menjelang perlawanan hidup mati menentang Bahrain pada aksi kedua Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di sini, Sabtu ini.

Pemain pertahanan tengah negara, Shahrul Mohd Saad berkata, pasukan memerlukan suasana positif dalam sesi latihan bagi memupuk semangat jitu dalam diri pemain untuk dibawa ke pertembungan itu.

Katanya, beliau masih mempunyai keyakinan tinggi terhadap rakan sepasukan, untuk meraih keputusan positif di Stadium Jassim Bin Hammad sekali gus dapat mencerahkan peluang mencipta sejarah layak ke pusingan 16 terbaik.

"Kami ada beberapa hari sebelum perlawanan akan datang, paling penting adalah ikatan dalam pasukan, kami kena ada mood positif dalam latihan dan sudah tentu kami akan beri yang terbaik untuk aksi akan datang.

"Kami semua okey, kami pun sudah lama (bersama). Saya masih percaya dengan skuad ini, dengan kebolehan dan kualiti pemain ada saya masih lagi percaya kita mampu lakukan sesuatu dalam aksi lawan Bahrain,” katanya ketika ditemui di hotel penginapan pasukan di sini, hari ini.

Menyedari Bahrain lebih baik di atas kertas, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 30 tahun itu berkata, pasukan perlu lebih peka dan beraksi bermati-matian, jika mahu mengutip tiga mata selain bagi mempertahankan nama Malaysia.

"Kemenangan paling utama bagi saya, sebab sudah berapa lama kita berusaha untuk sampai ke sini dan apabila di sini kami tak mahu mensia-siakan peluang yang ada,” katanya yang berazam memberikan persembahan terbaik sekiranya diturunkan pada pertembungan itu.

Dalam pada itu, Shahrul mempertahankan taktikal digunakan pengendali skuad kebangsaan Kim Pan-gon dan menafikan dakwaan segelintir peminat bahawa para pemain negara bermain sambil lewa, ketika tewas 0-4 di tangan Jordan pada aksi pertama kumpulan Isnin lalu (Selasa pagi waktu Malaysia).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pada aksi yang segera mahu dilupakan itu, Malaysia bermain dengan baik tetapi Jordan tampil lebih bersedia dan bijak menghidu kelemahan pasukan untuk mencipta kemenangan.

Sebagai rekod, Malaysia tewas kepada Bahrain dalam tiga perlawanan terakhir sejak 2013 dengan pertemuan terakhir menyaksikan Bahrain menang 2-1 pada pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 2022.

Bahrain merupakan pasukan ranking ke-86 dunia sementara anak buah Pan-gon di posisi 130.

Selepas aksi bertemu Bahrain, Malaysia akan menutup saingan kumpulan berdepan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!