Lelaki pertama didakwa atas tuduhan menghendap ditempatkan di Hospital Bahagia
SHAH ALAM - Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas perunding pengurusan acara sambilan yang merupakan individu pertama menghadapi pertuduhan menghendap di bawah Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, Majistret Sasha Diana Sabtu memerintahkan Mohamad Safiq Rosli, 38, ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti keseluruhan keterangan saksi-saksi pendakwaan dan pembelaan yang mendapati tertuduh ada melakukan perbuatan sebagaimana dalam pertuduhan iaitu mengganggu seorang jurugambar wanita, Acacia Mardiana Daud, 31, menggunakan aplikasi Twitter pada Julai tahun lepas.
"Mahkamah mendapati disebabkan akal yang tidak waras tertuduh tidak mengetahui bahawa perbuatannya itu adalah satu kesalahan yang bertentangan dilakukan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.
"Oleh itu, di bawah peruntukan Seksyen 347 Kanun Tatacara Jenayah, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan, seterusnya merujuk Seksyen 348 Kanun Tatacara Jenayah, tertuduh diperintahkan untuk ditempatkan di bawah tahanan selamat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak," katanya dalam penghakiman kes itu.
Sasha Diana berkata, kes itu juga akan dilaporkan kepada Sultan Selangor bagi perintah selanjutnya di bawah seksyen yang sama.
Sementara itu, peguam pemerhati kepada Acacia Mardiana, Jason Wee ketika membacakan kenyataan impak mangsa sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, memaklumkan anak guamnya diganggu lelaki itu sejak berusia 23 tahun dengan tertuduh membuat lebih 30 akaun media sosial untuk mengganggu anak guamnya.
Beliau turut menyatakan antara lain dalam masa lapan tahun, anak guamnya telah kehilangan rakan kerana beliau takut untuk bersosial, dan pendapatan melalui media sosial kerana takut untuk memuat naik hantaran mengenai sesuatu produk.
"Dia telah menghabiskan duit untuk pergi ke seluruh dunia, menghabiskan masa berbulan-bulan di United Kingdom (UK) hanya untuk mencari saya, dia bijak dalam mengelak daripada dikesan pihak berkuasa di UK.
"Selama lapan tahun, saya menangis dan rasa putus asa. Saya rasa seperti saya akan dibunuh kerana saya tahu dia memang terlalu memikirkan saya, dan tidak akan berhenti mencari saya tidak kira apa yang dikatakan sesiapapun, tidak kira jika saya sudah berkahwin,” katanya ketika membacakan kenyataan impak bagi pihak anak guamnya
Terdahulu, saksi pembelaan, pakar perunding psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta Dr Ian Lloyd Anthony memberitahu mahkamah bahawa berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan ke atas Mohamad Safiq mendapati tertuduh menghidap penyakit Schizophrenia.
"Semasa melakukan kesalahan itu, dia (Mohamad Safiq) tidak menyedari perbuatannya adalah satu kesalahan dan dia tidak tahu bahawa perbuatannya menyalahi undang-undang kerana fikirannya tidak waras pada masa itu.
"Gangguan mental dihadapinya pada waktu pertuduhan adalah lebih kepada berdelusi, dia menghadapi pelbagai bentuk delusi dengan yang paling ketara ialah delusi cinta atau dikenali sebagai "erotomania”.
"Delusi ini bermula hampir lapan tahun lalu dan berkembang dalam satu jangka waktu. Dan kerana delusi ini, keseluruhan hidupnya bertumpu kepada kehidupan mangsa. Dia menjadikan satu tugas untuknya mengetahui setiap butiran mangsa seperti kehidupan peribadi dan kerjaya, selain perkara yang disukai dan dibenci,” katanya.
Anthony berkata, Mohamad Safiq percaya dia dan mangsa berada dalam hubungan yang romantik tetapi fakta sebenarnya dia hanya bertepuk sebelah tangan.
Pada 20 Disember lepas, Mahkamah Majistret di sini menolak pengakuan bersalah Mohamad Safiq yang didakwa mengganggu Acacia Mardiana melalui aplikasi Twitter atas nama akaun "@sopert99" dengan menghantar komunikasi berbentuk luahan perasaannya di akaun Twitter milik mangsa "@ShaFoShizzle" yang telah dibaca di sebuah rumah di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 1.40 pagi 15 Julai dan 5.58 petang 21 Julai tahun lepas sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa dan boleh dihukum mengikut Seksyen 507A(3) yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Sasha Diana berkata, mahkamah menolak pengakuan itu atas alasan terdapat isu berhubung ketidakwarasan tertuduh yang dibangkitkan pihak pendakwaan dan menetapkan hari ini untuk perbicaraan kes ini pada 20 Disember lepas.
Pada prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinas Abbas dan Analia Kamaruddin manakala tertuduh diwakili peguam, Fithril Hakim Ab Jalil.
Seramai dua saksi pendakwaan termasuk mangsa dan satu saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula jam 10.30 pagi tadi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!