Sampai bila perlu mencurigai
PEMBINAAN sesebuah negara bangsa bukannya sesuatu yang mudah. Syarat asas pembinaan negara perlulah ada pemilikan tanah terlebih dahulu.
Pun begitu, pembinaan negara bangsa tidak akan lengkap tanpa adanya rakyat yang memilih kerajaan yang diinginkan oleh mereka. Setelah terbinanya sebuah kerajaan, pemimpin yang dipilih harus bertanggungjawab untuk menjaga kedaulatan negara.
Namun, menjaga kedaulatan negara semata-mata adalah tidak memadai jika sesebuah negara tidak makmur. Justeru, bagi memakmurkan negara, kita perlu percaya antara satu sama lain dan bukannya hidup dalam keadaan curiga-mencurigai.
Sebetulnya, sesiapa yang lahir ke dunia ini tidak mahu dicurigai. Sebaliknya, kita akan sentiasa berusaha untuk terus dipercayai dan diyakini oleh sesiapa sahaja. Ini bermakna, setiap kepercayaan yang diberikan kepada kita merupakan suatu anugerah yang paling tinggi kerana secara langsung dapat meningkatkan maruah dan darjat diri kita dalam kalangan masyarakat.
Lihatlah apa yang berlaku di sesetengah negara luar. Walaupun negara mereka mempunyai kedaulatan, namun masih lagi berkonflik sesama sendiri kerana adanya perasaan curiga. Akibat curiga terhadap sesuatu bangsa, maka dihinanya bangsa tersebut dengan pelbagai cara. Natijahnya, konflik ini akan berterusan tanpa noktah selagi nilai kepercayaan tidak dipegang bersama-sama.
Hakikatnya, sikap mencurigai itu muncul kerana rakyat masih belum matang untuk menerima perbezaan. Walaupun kita tahu bahawa perbezaan pandangan itu akan sentiasa ada walaupun segigih mana kita mencari titik persamaan, namun tidak semua boleh menerima hakikat perbezaan pandangan tersebut.
Justeru, timbullah pelbagai sikap yang negatif untuk menolak segala perbezaan pandangan. Jika tidak dikawal, sikap sebegini boleh menimbulkan perbalahan lisan dan fizikal dan mendorong kepada kehidupan yang berpuak-puak.
Menurut perspektif psikologi, sikap suka mencurigai orang lain adalah disebabkan oleh pemikiran toksik yang bersarang dalam minda mereka. Terdapat sekurang-kurangnya dua jenis pemikiran bertoksik berkaitan hal ini iaitu catastrophic thinking (pemikiran huru-hara) dan mind reading thinking (memikirkan apa orang lain akan kata kepada kita). Berkaitan dengan pemikiran huru-hara, terdapat pepatah Inggeris yang cukup sinonim dengan hal ini iaitu make a mountain out of molehill atau suka membesarkan sesuatu masalah yang kecil. Oleh itu, selagi bersarangnya kedua-dua pemikiran tersebut dalam minda, maka selagi itulah kita akan menjadi rapuh dan akan bertindak dengan penuh emosi bagi segala isu yang bertentangan dengan pandangan kita.
Pada hemat saya, sikap mencurigai itu tidak akan membesar sekiranya kita sedar tanggungjawab kita sebagai pemimpin di muka bumi ini. Malah, daripada Ibnu Umar R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin manusia akan bertanggungjawab kepada rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka semua, seorang wanita juga pemimpin di rumah suami dan anak-anaknya, dan dia bertanggungjawab terhadap mereka semua, seorang budak adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggungjawab atas harta tersebut. Setiap kamu adalah pemimpin dan akan mempertanggungjawabkan kepimpinannya.” (Hadis Riwayat Muslim).
Justeru, sempena tahun baru 2020 ini, marilah kita menguatkan tekad untuk menjadikan negara kita sentiasa makmur.
**Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!