Apa jaminan air tidak lagi berkarat?
SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengumumkan kenaikan purata tarif air sebanyak 22 sen bermula 1 Februari ini.
Pelarasan itu dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna domestik, yang akan menyebabkan caj bil naik antara RM1.60 hingga RM8 bagi setiap kediaman.
Kenaikan itu susulan kos penyediaan bekalan air terus meningkat. Menurut SPAN, kos untuk merawat 1,000 liter atau satu meter padu air adalah RM1.75, namun purata tarif yang dikenakan kepada pengguna domestik di Malaysia hanya 52 sen setiap meter padu bagi 20 meter padu pertama.
Kenaikan keperluan asas itu pastilah memberi kesan kepada semua rakyat, terutama mereka yang tidak layak menerima subsidi.
Secara purata, sebuah keluarga yang mempunyai empat penghuni, menggunakan lebih kurang 20 meter padu air sebulan dengan bil RM10.40 sebelum ini. Dengan kenaikan itu, bil mereka bermula bulan Februari nanti ialah RM14.80.
Sebagai perbandingan, pengguna domestik di Singapura contohnya, dicaj S$1.21 (RM4.10) setiap meter padu atau RM82 sebulan jika menggunakan 20 meter padu sahaja.
Kita memahami masalah yang dihadapi oleh operator air di negeri-negeri, apatah lagi kadar tarif adalah berbeza-beza mengikut negeri.
Bukan sahaja kos merawat air terus meningkat, kos untuk menggantikan paip bekalan air yang telah usang juga tinggi.
Sebagai contoh, Air Selangor perlu menggantikan 6,000 kilometer paip air yang telah usang dan mudah pecah dengan kos kira-kira RM1 juta bagi setiap kilometer.
Disebabkan kos yang tinggi, ia hanya dapat menukar dengan paip yang baharu sejauh 150 kilometer sahaja setahun.
Ini juga adalah antara punca mengapa 8.4 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, sering menghadapi masalah bekalan air, begitu juga di negeri-negeri lain kerana air yang dibekalkan ‘hilang’ dan yang sampai kepada pengguna tidak seperti kadar sepatutnya.
Di beberapa negeri seperti Kelantan masalah bekalan air dilaporkan lebih teruk lagi, termasuk isu gangguan dan kekurangan bekalan, tekanan yang tidak mencukupi sehingga air tidak keluar daripada paip serta masalah air kotor dan berkarat.
Dengan kenaikan tarif ini, rakyat mahukan jaminan bekalan air pada tahap terbaik.
Selepas ini kita tidak mahu mendengar lagi ada rakyat yang terpaksa menggali telaga sendiri, membina telaga tiub dan menyediakan tandak air di kawasan berbukit gara-gara ketidakcekapan operator air menguruskan bekalan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!