Seronoknya si kecil dapat duit saku Subuh

Kanak-kanak yang hadir solat Subuh berjemaah diberikan wang saku RM5 oleh pihak pengurusan Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh.
Kanak-kanak yang hadir solat Subuh berjemaah diberikan wang saku RM5 oleh pihak pengurusan Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh.
A
A
A

FENOMENA saf solat Subuh penuh seperti sembahyang berjemaah semasa solat Jumaat nampaknya semakin menjadi ikutan di seluruh negara.

Lebih menarik, kempen ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ yang disemarakkan oleh selebriti terkenal, Alif Satar disambut baik oleh semua pihak sejak digerakkan pada Disember lalu.

Meskipun niat asal pemilik nama sebenar, Muhammad Alif Mohd Satar itu bertujuan sebagai tanda solidariti kepada penduduk Semenanjung Gaza, Palestin, namun impaknya sangat luar biasa.

Mana tidaknya, sudah banyak pengurusan masjid di beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Perak dan Kedah mengambil pendekatan sama.

Memetik kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, pihaknya percaya usaha dakwah berkenaan sangat signifikan, terutamanya menjelang Ramadan tidak lama lagi.

Bukan hanya mengimarahkan masjid sebagai rumah ibadah semata-mata, ia juga berfungsi sebagai pusat perbincangan intelektual dan kemanusiaan dengan prospek lebih meluas.

Beliau percaya, gerakan mengajak masyarakat ke arah kebaikan menerusi platform media sosial itu adalah kaedah paling berkesan, malah berupaya membentuk individu lebih positif.

Selain berdakwah, sebenarnya kempen seumpama itu lagi seronok apabila anak-anak diberi ganjaran berupa wang saku RM5 sebagai galakan buat mereka yang berjaya menunaikan solat di masjid.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh, pendekatan murni yang dilaksanakan Masjid Negeri Perak mendapat pujian ramai apabila mengambil pendekatan lain daripada lain.

Inisiatif yang sudah diamalkan sejak September lalu itu terbuka kepada anak-anak penduduk berusia 15 tahun ke bawah supaya mereka terus rajin ke masjid.

Ia boleh diibaratkan sebagai serampang dua mata. Daripada bapa datang ke masjid sendirian, dorongan sedemikian boleh menarik satu keluarga untuk mengimarahkan rumah ALLAH.

Bukan setakat dapat duit poket sekolah, malah terdapat masjid yang meraikan ahli kariah yang datang solat Subuh dengan jamuan tiga ekor kambing golek!

Kreatif lagi genius idea jawatankuasa masjid yang berusaha bersungguh-sungguh menarik lebih ramai penduduk khususnya anak muda untuk memenuhi saf bermula dengan solat Subuh.

Betul kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Soal mendidik dan memupuk minat untuk menunaikan solat dengan rela hati perlulah didedahkan daripada kecil.

Mengajak anak-anak untuk ke masjid terutamanya menjelang Ramadan nanti adalah antara peluang keemasan untuk merapatkan mereka dengan rumah ALLAH.

Namun, jangan pula dihalau si kecil berkenaan hingga ke saf terakhir atau hanya dibenarkan berada di ruang solat berasingan sedangkan mereka datang bersama bapa atau ibu masing-masing.

Pernah berlaku insiden yang mana terdapat jawatankuasa masjid menghalang anak-anak berada di dalam masjid dan hanya membenarkan lelaki atau wanita dewasa berada di ruang solat utama.

Agak sedih apabila banyak cerita yang dikongsi di media sosial apabila para ibu berdepan situasi sama apabila anak yang masih kecil tidak dibenarkan berada di ruang solat utama meskipun mereka sudah berkhatan.

Bukan setakat si ibu yang kecewa, malah anak yang masih kecil terasa hati apabila tidak dapat solat Maghrib berjemaah bersama ayah mereka. Bukankah lebih molek jika si ayah digandingkan bersama supaya si anak dapat melihat dan mempelajari solat dengan lebih baik?

Justeru, usaha dakwah lebih menyantuni umat tak kira usia perlulah dilaksanakan secara telus dan berterusan. Lagi pula, kita tinggal kurang dua bulan lagi nak sambut puasa.

Sudah tentunya masing-masing berusaha untuk merebut pahala berlipat kali ganda pada bulan penuh barakah yang datang setahun sekali.

Lagi satu, kempen ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ haruslah dilaksanakan sampai bila-bila.

* Arziana Mohmad Azaman ialah wartawan Lifestyle Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!