Mampukah inisiatif gelombang padi tingkatkan SSR?
KUALA LUMPUR - Isu kekurangan bekalan beras yang agak meruncing pada tahun lepas akibat pelbagai faktor termasuk larangan eksport yang dikeluarkan negara pengeluar seperti India, membuka mata ramai akan kepentingan Malaysia memberi lebih fokus kepada peningkatan pengeluaran beras tempatan.
Entah mengapa atau di mana silapnya, Malaysia sehingga ke hari ini masih lagi belum berupaya mencapai purata pengeluaran beras dengan kadar tahap sara diri (SSR) yang disasarkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 (DAN) bagi menampung permintaan dalam negara.
Keadaan ini yang sudah sekian lama berlanjutan menyaksikan pergantungan kepada beras import sebanyak 1.1 juta tan metrik pada 2022 apabila negara hanya mampu mengeluarkan sebanyak 1.6 juta tan metrik beras sahaja dengan kadar SSR, 62.6 peratus daripada keperluan negara.
Hakikatnya, pergantungan yang boleh disifatkan agak tinggi kepada beras import ini tidak boleh dipandang enteng memandangkan situasi kekurangan bekalan beras pada tahun lepas telah membawa rakyat merasai impak buruknya apabila terpaksa berdepan episod kenaikan harga yang mendadak.
Oleh kerana itu, Pakar Keterjaminan Makanan, Prof Datuk Dr M Nasir Shamsudin berkata, Malaysia nampaknya tidak ada pilihan selain terpaksa menyegerakan pelaksanaan reformasi industri penanaman padi di negara ini dengan langkah proaktif bagi meningkatkan SSR.
"Biarpun ketika ini, Dasar Agromakanan Negara sudah memasuki Fasa Kedua (DAN 2.0 - 2021-2030) namun, kadar SSR masih lagi tidak mencapai sasaran yang dimatlamatkan, malah kita tidak pernahpun sampai 70 peratus kadar SSR."Pada DAN 2011-2020, kadar SSR adalah 70 peratus dan sekarang (DAN 2.0) menaikkan sasaran 80 peratus, namun jalannya dilihat masih lagi sukar.
"Negara berada dalam status rentan kerana kadar SSR yang rendah membuatkan negara terus bergantung pada beras import jadi apabila India menghentikan eksport beras putih mereka, kita turut terkesan kerana pergantungan yang agak tinggi bagi menampung keperluan dalam negara,” katanya kepada Bernama.
Tahun lepas, India menghentikan eksport beras putih mereka secara mengejut akibat krisis perubahan iklim yang berlaku secara global, Malaysia juga tidak terkecuali berhadapan masalah berkenaan selain peningkatan kos baja, racun akibat kenaikan harga bahan mentah dunia dan sebagainya.
Oleh kerana itu, beliau melihat penekanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk meningkatkan SSR sebagai keutamaan bermula tahun ini sehingga 2030 akan memberi impak positif dalam meningkatkan purata pengeluaran beras negara.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu yang ditemui media selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga KPKM Selasa lepas, menyasarkan supaya negara mencapai 100 peratus SSR beras, peningkatan 35 peratus berbanding kadar SSR negara pada 65 peratus, tahun lepas.
Bagi tujuan itu, KPKM akan melaksanakan inisiatif Gelombang Padi yang menggariskan 12 program di bawahnya yang dilihat akan mampu mencetuskan transformasi industri padi dan beras bagi menjamin keterjaminan makanan negara.Antara inisiatif berkenaan adalah memperkenalkan Insentif Benih Padi Sah (IBPS); memulih dan membangunkan kawasan tanah jerlus; memperkasa pembekalan input pertanian; memperkukuh pengurusan air ke kawasan tanaman padi dan memperluaskan pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan.
Inisiatif itu dilihat M Nasir sebagai bertepatan pada masanya dalam menangani krisis bekalan beras namun, beliau berpandangan ia perlu disertakan dengan beberapa penambahbaikan antaranya penyaluran subsidi perlu berasaskan pengeluaran dan bukannya berpandukan keluasan tanaman padi.
Beliau berkata, jika subsidi disalurkan berasaskan pengeluaran dan bukannya keluasan tanah tanaman padi, mekanisme ini akan dapat menggalakkan peningkatan produktiviti dan hasil padi selain pelaksanaan dasar guna tanah bagi meningkatkan pengeluaran padi dengan pemberian insentif kepada kerajaan negeri oleh Kerajaan Persekutuan
"Kajian oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah mencadangkan bahawa insentif tersebut berdasarkan nilai perkhidmatan ekosistem guna tanah pengeluaran padi dengan menggubal skim contohnya bayaran pindahan keterjaminan makanan,” katanya.
Bagi pesawah pula, langkah transformasi itu diharap dapat menyelesaikan beberapa isu yang membelenggu mereka sejak sekian lama sehingga menjejaskan hasil pengeluaran padi, kata Suhaili Samsuri, 43.
Dia yang mengusahakan tanaman padi lebih lima tahun di Sekinchan, Selangor mahu masalah sistem saliran air yang dihadapi oleh kalangan pesawah di situ yang kian memburuk sejak lima tahun lepas dapat diatasi menerusi inisiatif Gelombang Padi.
Majoriti pesawah padi di Selangor terpaksa membeli pam air bagi menangani masalah kekurangan air sepanjang tempoh penanaman padi sekali gus meningkatkan kos operasi dan membebankan mereka.
"Tempoh penanaman padi adalah antara 80 hingga 90 hari dan saliran air (sistem palong) yang digunakan tidak mencukupi sehingga memaksa pesawah membeli pam air dengan kos sebanyak RM2,000 dan itu tidak termasuk kos minyak sekitar RM200 hingga RM300 untuk satu lot sawah yang berkeluasan kira-kira tiga ekar.
Jadi apabila inisiatif Gelombang Padi turut menekankan menangani masalah saliran air, sedikit sebanyak melegakan kami kerana ini merupakan penantian yang sudah lama,” katanya.
Biarpun demikian, sama ada inisiatif Gelombang Padi ini mampu mentransformasikan industri padi dan beras negara bagi memastikan peningkatan kadar SSR serta mengelak daripada berlakunya ketidakstabilan rantaian bekalan sepertimana tahun lepas, isu yang menyentuh makanan ruji rakyat Malaysia ini sudah tentu akan terus menarik perhatian umum. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!