Dua beradik hilang: Suspek kurung, cabul, liwat remaja lelaki ditahan
KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes dua beradik dikurung yang dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Taman Bernam Jaya, Selangor, sejak 1 Januari lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, laporan diterima pihaknya daripada seorang remaja berusia 16 tahun pada jam 2.48 pagi, 12 Januari lalu.
Katanya, remaja itu memaklumkan perbuatan cabul dan diliwat oleh seorang individu di sebuah hotel di Jalan Sultan dekat sini.
"Bertindak atas maklumat, risikan pihak polis telah berjaya menahan individu berusia 42 tahun itu yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut di hadapan sebuah hotel di lokasi kejadian.
"Suspek telah direman tujuh hari sehingga 19 Januari untuk siasatan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan serta Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Allaudeen menegaskan, dalam siasatan kes ini, pihak polis mendapati remaja lelaki tersebut bukan diculik sebagaimana dilaporkan.
Sebaliknya, jelas beliau, remaja itu telah keluar dari rumahnya di Hulu Bernam, Selangor dan terdapat siasatan berkenaan kes ini.
“Siasatan kes ini masih berjalan dan pihak polis menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat berhubung kejadian ini di talian Hotline Polis Kuala Lumpur 03- 21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang daripada dua beradik lelaki yang dilaporkan hilang pada 1 Januari lalu mendakwa dikurung dalam sebuah motel di Jalan Petaling, Kuala Lumpur oleh individu tidak dikenali.
Malah, remaja berusia 16 tahun yang berjaya melarikan diri itu mendakwa selama dikurung bersama adiknya selain diperlakukan tidak baik sebelum dipisahkan pada 9 Januari lalu.
Difahamkan, usaha mengesan adik mangsa berusia 15 tahun itu masih dijalankan pihak polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!