[VIDEO] Warga asing menyorok, rempuh pegawai JIM Melaka

A
A
A

MELAKA - Dua warga asing Bangladesh dan Indonesia sanggup menyorok di bawah rumah kongsi ketika serbuan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka dalam Ops Sapu di tapak binaan Limbongan, Klebang Besar dekat sini awal pagi Khamis.

Lelaki warga Indonesia berusia 24 tahun yang mendakwa telah tamat tempoh permit memberikan alasan terkejut dengan kehadiran penguat kuasa menyebabkan dia bertindak sedemikian untuk melarikan diri.

Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, selain itu pegawainya juga turut dirempuh PATI yang cuba meloloskan diri melalui jalan tikus namun berjaya dicekup.

Lelaki berusia 24 tahun yang didapati menyorok di bawah rumah kongsi ketika serbuan itu. Gambar kecil: Anirwan Fauzee
Lelaki berusia 24 tahun yang didapati menyorok di bawah rumah kongsi ketika serbuan itu. Gambar kecil: Anirwan Fauzee

Menurutnya, operasi dengan kekuatan 59 pegawai dan anggota itu dilakukan susulan menerima aduan orang awam serta risikan yang dijalankan sejak dua minggu lalu.

Beliau berkata, dalam dua serbuan yang dilakukan di Klebang Besar dan rumah kongsi Krubong berjaya menahan 75 PATI atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk 65 lelaki dan 10 wanita berusia antara 20-an hingga 50-an.

Sebahagian warga asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Sebahagian warga asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

"PATI yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia (41); Bangladesh (26); Myanmar (7) dan India (1).

Artikel Berkaitan:

"Kita juga telah mengeluarkan 11 saman saksi bagi membantu siasatan dan kesemua PATI yang ditahan itu ditempatkan ke Depoh Imigresen Machap Umboo untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas tamat operasi di Krubong di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Anirwan Fauzee berkata, siasatan awal juga mendapati antara kesalahan yang dilakukan termasuk tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa, menyalahgunakan pas dan lain-lain kesalahan di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen.

Warga asing yang ditahan dibawah ke Depoh Imigresen Machap Umboo Alor Gajah pada Khamis.
Warga asing yang ditahan dibawah ke Depoh Imigresen Machap Umboo Alor Gajah pada Khamis.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c); Seksyen 15(1)(c) Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen serta 1959/63, Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam operasi yang berakhir jam 3 pagi itu.

Tambah beliau, berdasarkan statistik tahun lalu, JIM Melaka telah melaksanakan sebanyak 614 operasi dan memeriksa seramai 5,159 warga asing, daripada jumlah itu 1,529 individu serta 31 majikan telah ditahan.

"Dalam tempoh itu juga seramai 663 individu termasuk 639 PATI dan 24 majikan telah didakwa di mahkamah selain kutipan kompaun berjumlah lebih RM1juta," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!