Dua rakan karib maut akibat terhidu gas karbon dioksida
KOTA KINABALU - Seorang lelaki dan wanita yang dilaporkan terperangkap di sebuah bilik stor di bangunan terbengkalai di Likas pada Rabu dipercayai maut akibat terhidu gas karbon dioksida.
Kedua-dua mangsa masing-masing berusia 43 tahun itu terperangkap di bilik stor simpanan tong karbon dioksida itu juga dikatakan sedang mencari kabel dan besi di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kedua-dua mangsa itu merupakan rakan karib yang keluar mencari kabel dan besi untuk dijual.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.30 pagi di mana kedua-dua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala pintu bilik tersebut tertutup.
"Menurut keterangan saksi, mangsa wanita tinggal serumah dengannya dan kedua-duanya adalah kenalannya.
"Menurut maklumat yang diterima juga kedua-dua mangsa merupakan kawan baik.
"Saksi memaklumkan, pada jam 2 pagi (Rabu), kedua-dua mangsa memberitahu bahawa mereka ke bangunan terbengkalai itu bagi mencari kabel dan besi untuk dijual," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, saksi juga telah menjaga anak mangsa namun selepas setengah jam kemudian anaknya mula menangis menyebabkan dia terpaksa menghubungi mangsa.
"Bagaimanapun, telefon bimbit mereka gagal dihubungi dan saksi yang bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku bertindak ke bangunan tersebut bersama seorang rakan untuk mencari kedua-dua mangsa.
"Kedua-dua mangsa akhirnya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik penyimpanan tong gas yang terkunci lalu bertindak segera ke Pondok Polis Likas untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Mohd Zaidi berkata, susulan kejadian itu, sepasukan bomba turut dipanggil untuk membuka pintu bilik tersebut.
"Mayat kedua-dua mangsa juga dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjut.
"Hasil siasatan di lokasi, pasukan bomba dan hospital mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa berkemungkinan meninggal dunia disebabkan terhidu gas karbon dioksida.
"Siasatan di tempat kejadian juga tidak berlaku sebarang tanda unsur perbuatan jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian kedua-dua mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut," katanya.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan kedua-dua mangsa ditemui tidak sedarkan diri selepas terperangkap dalam bilik stor tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!